Hong Kong: Protes VS Undang-undang Baru

PROTES sejak April 2019

(1) Sebelum ini saya ada menulis secara pecahan mengenai protes yang berlaku di Hong Kong yang dimuatkan di dalam beberapa artikel. Boleh baca artikel-artikel tersebut yang bertajuk;

(a) Global Protest dan Slogan Humanism [1]
(b) Cyber War yang Mewarnakan Revolusi dan People-Swarm [2]
(c) Uyghur dan Rohingya, Amerika VS China [3]

Hong Kong antara tempat subur dengan protes yang dilihat wujudnya campur tangan luar. Protes ini bermula pada April 2019 dan pernah mencecah seramai 2 juta orang.

(2) Protes ini berikutan Ketua Eksekutif wilayah tersebut menyatakan keistimewaan khas yang diperolehi oleh orang Hong Kong akan dihapuskan dengan Undang-undang Ekstradisi. Maka, antara yang ditimbulkan ialah hak demokratik mereka.

Para demonstran menyuarakan kebimbangan terhadap rang undang-undang baru akan menyebabkan bandar raya itu membuka peluang kepada pengaruh undang-undang tanah besar China dan rakyat dari Hong Kong akan terikat dengan undang undang yang berbeza.

Advertisement

(3) Protes ini dianjurkan oleh Civil Human Rights Front (CHRF). Banyak juga pertubuhan yang menjadi ‘member’ kepada CHRF yang wajar diselidik satu persatu seperti pertubuhan Kristian, Aliran Demokratik dan lain-lain.

Pada Ogos 2019, Kerajaan China memberi ancaman untuk campur tangan dalam bantahan di Hong Kong. Pada bulan Oktober, Hong Kong telah diisytiharkan darurat sehingga pengangkutan awam terpaksa diberhentikan sementara.

(4) Protes ini bermula dengan sentimen, akhirnya anak-anak muda dibakar dengan ketidakpuasan hati terhadap undang-undang baru itu. Jurucakap Majlis Hal Ehwal Hong Kong dan Pejabat Hal Ehwal Macau, Yang Guang, menyatakan kewaspadaan terhadap kemungkinan unsur revolusi yang diwarnakan.

Iaitu revolusi yang diwarnakan di seluruh dunia bagi mencetus fenomena ‘Global Protest’ yang sedang melanda mereka. Boleh fahami istilah ini dalam artikel saya yang bertajuk ‘Revolusi Yang Diwarnakan dan Ditemplatekan’. [4]

Campur tangan dan persaingan ideologi

(1) Antara yang perlu kita sedari dan waspadai ialah campur tangan luar dalam mewarnakan protes tersebut. Ms Carla Stea, penganalisis geopolitik di Global Research, juga menyatakan penglibatan media Amerika dan Eropah menyokong ketidakstabilan kerajaan di Hong Kong.

Penyelidik Kanan Xing Guangcheng dari Akademi Sains Sosial Cina berkata bahawa revolusi warna yang pernah terjadi di negara-negara Eropah Timur tiada yang menampakkan sesuatu yang positif.

(2) Masing-masing merasakan kewujudan Amerika dalam mencatur huru-hara di Hong Kong, apatah lagi teori yang mengatakan bahawa Amerika sedang berhati-hati dengan China dan penguasaannya terhadap Eurasia, dan projek BRI-nya.

Persaingan antara China dan Amerika rasanya boleh belek tulisan-tulisan saya sebelum ini. Sebelum pergi lebih jauh, suka untuk saya kongsikan secara ringkas bagaimana protes ini kemungkinan dilatari oleh ideologi Barat.

(3) Antara 1948 hingga 1992 berlakunya persaingan ideologi di peringkat global apabila tercetusnya pertembungan antara Soviet dan Amerika. Soviet berpegang dengan Sosialis Komunis manakala Amerika Kapitalis Liberal.

Untuk menjatuhkan Soviet, Amerika memasarkan seluas-luasnya konsep pemerintahan Demokrasi ala-ala Liberal. Negara-negara di bawah pengaruh Barat, memang sudah ada yang dicelup dengan demokrasi ini.

(4) Seruan kebebasan, Humanism dan sebagainya dipasarkan seluas-luasnya sebagai bentuk serangan pemikiran. Akhirnya Soviet jatuh. Senjata ini tidak dibiarkan ‘berkarat’ begitu sahaja, apabila ia terus dipasarkan untuk menyerang Islam.

Hari ini apabila bertembungnya Amerika yang mengamalkan Liberal Demokrasi dan China yang mengamalkan Komunis Autokrasi, maka senjata serangan pemikiran dilihat yang paling ampuh untuk mengulangi sejarah kejatuhan Soviet.

Serangan pemikiran VS undang-undang

(1) Berdasarkan sejarah yang saya nyatakan tadi, hati ini kuat untuk mengatakan bahawa huru-hara dan darurat di Hong Kong adalah hasil serangan pemikiran ala-ala Liberal. Apatah lagi slogan demokratik dan Humanism dilaungkan oleh para demonstran.

Contohnya, Selasa baru ini menyaksikan lebih dari 100 penunjuk perasaan berkumpul di sebuah pusat membeli-belah di daerah pusat perniagaan Hong Kong, sambil melaungkan slogan-slogan termasuk ‘Hong Kong bebas, revolusi sekarang’.

Ia dikepalai oleh beberapa orang mengangkat bendera yang mewakili Hong Kong yang merdeka serta poster yang mengecam undang-undang yang baru digazetkan tersebut.

(2) Walaupun tidak dinafikan bahawa undang-undang kontroversi itu memang berat sebelah, namun kita perlu lihat dari dimensi pihak-pihak yang mengambil kesempatan. Hari ini menguatkan lagi hujah bahawa adanya campur tangan luar.

Antara yang terbaru, China telah melancarkan undang-undang keselamatan untuk Hong Kong. Undang-undang keselamatan negara tersebut menghukum jenayah pemisahan, hasutan dan berpakat dengan pasukan asing dengan syarat sehingga penjara seumur hidup.

(3) China mengatakan bahawa undang-undang itu diperlukan untuk menangani pemisahan dan campur tangan asing, tetapi pengkritik bimbang undang undang tersebut mengheret kepada larangan perbezaan pendapat.

Mereka juga merasakan bahawa undang-undang baru itu menghancurkan autonomi yang dijanjikan ketika Hong Kong bertukar tangan daripada penjajahan United Kingdom ke China pada tahun 1997.

Dari segi sejarahnya, Hong Kong berada di bawah penjajahan British sejak 1950-an sehinggalah 1997 dan ketika perubahan kuasa pada tahun ini, berlakunya beberapa perubahan khusus terhadap undang-undang di situ.

Undang-undang Baru

(1) 1997 menyaksikan permulaan era terjadinya beberapa krisis undang-undang, ketidakpuasan hati dan sebagainya. Ketika penyerahan itu, berlakunya perbincangan yang lumat mengenai struktur sistem demokrasi negeri itu. Sedangkan kita sedia maklum China mengamalkan Autokrasi.

Contohnya, Ketua Eksekutif Hong Kong kini dipilih oleh jawatankuasa pemilihan dengan 800 orang ahli, yang sebahagian besarnya adalah dipilih dari kalangan sektor profesional dan perniagaan pro-China di Hong Kong.

(2) Realiti yang terjadi ini secara ‘atas tanah’nya adalah isu perundangan yang dilihat mendiskriminasi mereka. Lalu, berlakulah protes, dan China mengambil pendekatan memperkenal undang-undang baru yang lebih menyekat pengaruh luar.

Dalam undang-undang tersebut, ada 3 senario yang membolehkan China mungkin mengambil alih pendakwaan:

(a) Kes campur tangan asing yang rumit,
(b) Kes ‘sangat serius’,
(c) Situasi ketika keselamatan negara menghadapi ‘ancaman serius dan realistik’.

(3) Antara yang disebutkan juga;

“Tidak kira sama ada kekerasan telah digunakan, atau ancaman kekerasan yang digunakan, pemimpin atau pesalah yang serius akan dihukum penjara seumur hidup atau penjara minimum 10 tahun.”

“Pemerintah Hong Kong tidak memiliki bidang kuasa ke atas badan keamanan nasional di Hong Kong dan para pekerjanya ketika mereka menjalankan tugas yang diperuntukkan dalam undang-undang ini.”

“Undang-undang itu juga menyatakan bahawa mereka yang menghancurkan kemudahan dan utiliti kerajaan akan dianggap subversif. Merosakkan kemudahan pengangkutan awam dan pembakaran akan menjadi tindakan ‘keganasan’.”

“Mana-mana orang yang mengambil bahagian dalam aktiviti pemisahan, sama ada menganjurkan atau mengambil bahagian, dikira melanggar undang-undang tanpa mengira sama adanya unsur kekerasan atau tidak.”

Pro dan kontra

(1) Setelah undang-undang tersebut diluluskan, beberapa aktivis pro-demokrasi Hong Kong seperti Joshua Wong, Agnes Chow dan Nathan Law mengeluarkan kenyataan di Facebook mengatakan bahawa mereka akan menarik diri dari organisasi pro-demokrasi Demosisto.

Wong menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan dan nyawanya sekalipun tidak ada yang dapat meramalkan kesan undang-undang itu, sama ada undang-undang itu diheret ke China atau dihukum dengan hukuman penjara yang berpanjangan.

(2) Undang-undang ini digazetkan pada hari ini, 1 Julai merupakan ulang tahun ke 13 (1 Julai 1997) penyerahan Hong Kong daripada British kepada China. Sebagai satu simbolik bukan hanya pada peralihan kuasa, tetapi peralihan ideologi.

Pemimpin Hong Kong, Carrie Lam, ketika berbicara melalui pautan video ke Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, mengatakan undang-undang itu hanya mengisi ‘lubang jurang’ dan tidak akan merosakkan autonomi wilayah itu atau merosakkan badan kehakimannya.

(3) Lam mengatakan juga bahawa Hong Kong telah “trauma dengan meningkatnya keganasan yang didalangi oleh ejen dari luar” dan menyatakan;

“Tidak ada pemerintah yang dapat menutup mata terhadap ancaman tersebut terhadap kedaulatan dan keamanan nasional.”

(4) Dari satu sudut, tindakan China untuk memelihara ‘kedaulatan’ negaranya adalah terpuji. Dari sudut yang lain, China terpaksa berhadapan dengan tekanan Antarabangsa yang memandang serong terhadap penetapan undang-undang itu.

Antaranya 27 negara yang bimbang terhadap undang-undang itu. Ia dilihat mempunyai implikasi yang jelas terhadap hak asasi manusia di Hong Kong. Penandatangan termasuk Australia, Kanada, New Zealand, Switzerland dan 15 negara Kesatuan Eropah termasuk Belanda dan Sweden.

Boris Johnson Perdana Menteri UK menyatakan “Kami akan melihat undang-undang dengan teliti dan kami ingin menyemak untuk memahami apakah itu bertentangan dengan Deklarasi Bersama antara Inggeris dan China, khususnya berdasarkan peralihan kuasa pada 1997.

[1] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3136217656419973/?d=n

[2] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3145010568874015/?d=n

[3] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3272580669450337/?d=n

[4] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3142177662490639/?d=n

MUHAMMAD IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 1/7/2020