Lebih 80 peratus PASTI mula dibuka pasca-PKP

ALHAMDULILLAH. Hari ini saya bersama Ketua Pengarah PASTI Malaysia Ustaz Syarhan Humaizi Halim dan Harian Ahli Lembaga Pengarah (ALP) PASTI Malaysia turun membuat lawatan kerja memantau operasi PASTI yang dibuka bermula hari ini. Ini selaras dengan keputusan Kerajaan yang membenarkan taman didikan kanak-kanak (TADIKA) mula beroperasi pada 1 Julai 2020.

Advertisement

Lebih daripada 80 peratus Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di seluruh negara mula dibuka hari ini. Selebihnya akan dibuka bermula 5 Julai (bagi negeri yang hari bekerja bermula Ahad) dan 6 Julai (bagi negeri yang hari bekerja bermula Isnin). Selain itu, terdapat juga sebahagian kecil PASTI yang belum dibenarkan dibuka kerana audit mendapati pematuhan SOP belum dipenuhi.

Pagi tadi rombongan Sektor Pendidikan DPPM dan PASTI Malaysia berkesempatan ke dua destinasi lawatan pemantauan pembukaan PASTI pasca-PKP COVID-19 iaitu di PASTI Putra Falah, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan PASTI At-Taqwa, Bukit Changgang, Sepang, Selangor.

Hasil pemantauan, pihak PASTI Malaysia mendapati kedua-duanya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pembukaan PASTI yang selari dengan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ini termasuk penjarakan sosial, penggunaan PPE serta kebersihan kendiri dengan penggunaan hand sanitizer dan sabun.

PASTI merupakan sebahagian institusi pra-sekolah yang ada di Malaysia dengan rangkaian terbesar iaitu memiliki 2,529 cawangan seluruh negara. Pembukaan semula PASTI ini bagi menyahut seruan kerajaan sebagai kelangsungan pendidikan dengan pematuhan SOP yang ditetapkan.

Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak pengurusan, pentadbir, guru-guru dan ibubapa di semua peringkat. Tidak dilupakan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan AMAL Malaysia yang membantu membuat audit pematuhan SOP sebelum PASTI dibenarkan dibuka.

Buat semua anak-anak PASTI, selamat kembali ke PASTI! Amalkan norma dan kebiasaan baharu.
   
Lebai Engineer,
MUHTAR SUHAILI AS-SARAWAKI
Ketua Sektor Pendidikan
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 1/7/2020