Masa depan Malaysia bersama Perikatan Nasional

SEDANG pimpinan pembangkang berbalah secara terbuka mengemukakan calon bakal Perdana Menteri masing-masing seolah PRU15 terlalu hampir, Kerajaan Persekutuan terus beroperasi dengan tenang, tekun dan cemerlang.

Advertisement

Hilang kuasa secara mengejut lebih 3 bulan lalu terus menghantui Pakatan Harapan lantas mereka mencetuskan pelbagai persepsi seolah mereka punya bilangan kerusi yang cukup iaitu melebihi 112 di Dewan Rakyat untuk merampas kembali Putrajaya dari tangan Perikatan Nasional.

Kerana itu dikala tumpuan rakyat dan kerajaan adalah pada pemulihan dan pembinaan semula negara pasca COVID-19 mereka sibuk dengan calon-calon bakal PM tanpa menyedari rakyat terlalu bosan dan menyampah dengan gelagat dan angan-angan kosong mereka. Cukup-cukuplah berpolitik yang tidak membawa sebarang manfaat.

Setelah lebih 100 hari memerintah rakyat mula memberi pengiktirafan pada kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan pengiktirafan ini menunjukkan yang rakyat cukup selesa dengan kepimpinan yang ada dan mahu negara bergerak ke hadapan menjana kesejahteraan dan kemajuan buat semua.

Penganalisa politik, Joceline Tan dalam ruangannya di akhbar The Star baru-baru ini memetik kajian terbaru yang dibuat berkenaan tahap penerimaan rakyat atau ‘approval rating’ terhadap pimpinan politik dalam negara.

Kajian berkenaan dikendalikan oleh sebuah badan bebas yang ditaja oleh sebuah kerajaan negeri di Pantai Barat.

Hasil kajiannya menunjukkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin disenangi oleh 91 peratus orang Melayu, 25 peratus Cina dan 65 peratus India. Manakala bagi Tun Dr Mahahtir pula cuma 35 peratus Melayu, 36 peratus Cina dan 36 peratus India yang menyenangi beliau. Dan Anwar Ibrahim hanya menerima sokongan 16 peratus Melayu, 47 peratus Cina dan 50 peratus India.

Ini bermakna masyarakat Melayu begitu menghargai kepimpinan PM diikuti masyarakat India yang masing-masing jauh melebihi sokongan yang diberi pada Tun ataupun Anwar.

Walaupun PM cuma menerima sokongan 25 peratus masyarakat Cina iaitu kurang separuh namun ianya satu angka yang positif berbanding 90 peratus lebih yang menyokong PH dalam PRU14 lalu. Sokongan masyarakat Cina dijangka terus bertambah selepas ini.

Perkembangan ini membuktikan yang peristiwa robohnya kerajaan PH pimpinan Tun langsung tidak mendatangkan sebarang kesan pada rakyat, tiada yang protes dan tiada yang membantah secara terbuka. Ia juga membuktikan yang peralihan kuasa dari PH ke PN yang kini diterajui Muhyiddin dengan dianggotai BN, PAS, GPS selain Bersatu dan parti-parti lain dari Borneo diterima oleh rakyat dan terus disenangi.

Kombinasi PN ini dianggap mampu membela dan memperjuangkan nasib rakyat berbanding dengan PH yang telah mengecewakan rakyat dan negara selama 22 bulan pemerintahan mereka sejak PRU14 lalu. Paling ketara mereka telah menghampakan harapan rakyat apabila tidak mengotakan janji-janji pilihan raya mereka.

Pemerintahan PH sarat dengan politik membalas dendam, menuding jari dan menyalahkan pihak lain selain dominasi DAP dalam kerajaan PH telah membawa kebimbangan dan kerisauan pada rakyat khususnya orang-orang Melayu.

Hari ini PN dilihat jauh berbeza dari PH yang gopoh dan ekstrem itu. Ternyata apabila dominasi kuasa politik kembali ke tangan orang-orang Melayu dan didukung pula oleh pimpinan bukan Melayu, ketentaraman dan kestabilan rakyat dan negara terserlah.

Suasana sebeginilah yang dikehendaki oleh rakyat Malaysia di mana masing-masing boleh hidup aman dan bertolak ansur sebagaimana pernah kita rasai sejak Merdeka dahulu.

Dengan penerimaan rakyat yang cukup positif terhadap kerajaan hari ini, maka tepat sekali langkah PAS yang mahu membawa usul percaya terhadap Perdana Menteri di sidang Parlimen bermula 13 Julai nanti sebagaimana diumumkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Wakil-wakil Dewan Rakyat tidak kira parti diharapkan memberi sokongan padu kepada usul yang sesungguhnya mencerminkan sikap dan kemahuan akar umbi rakyat Malaysia hari ini lebih-lebih lagi dengan ‘approval rating’ yang disebut.

Selain itu mengambil isyarat dari sokongan padu rakyat ini parti-parti politik di bawah payung Perikatan Nasional juga kelihatan serius mengambil inisiatif memperteguhkan lagi muafakat sesama PN. Sebuah Sekretariat yang menggabungkan parti-parti di bawah PN khasnya BN, PAS, Bersatu, GPS dan lain-lain bakal ditubuhkan bagi merintis jalan memperkasakan platform politik PN ini sebagai gagasan politik mewakili rakyat Malaysia.

PN diharap dapat segera dibentuk secara formal demi memenuhi hasrat rakyat yang cukup senang dengan kombinasi politik ini. Politik baru Malaysia memerlukan kombinasi yang jitu seumpama PN ini.

Malah Pilihan Raya Kecil DUN Chini yang ditandingi Barisan Nasional-Umno dilihat sebagai PRK pertama buat PN sebagaimana ditegaskan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini. BN dijangka menang besar dalam PRK ini dan inilah nanti kemenangan pertama PN yang sudah pasti akan dijulang rakyat.

Inilah masa dan ketikanya bagi semua pihak di bawah PN menunjukkan kesungguhan, kematangan dan keikhlasan masing-masing. Bukan mudah mahu mencapai muafakat politik dari gabungan ini tetapi mengambil kira kehendak dan harapan rakyat maka semua pihak sewajarnya berkorban, berpakatlah secara tertib dan penuh ukhuwah demi rakyat yang menanti-nantikan kesepakatan kita.

Rakyat tidak mahu dipaksa kembali ke zaman gelap PH yang penuh dengan derita dan kekecewaan itu. Rakyat tidak mahu DAP yang ekstrem itu kembali berkuasa. Mereka memilih untuk bergerak maju ke hadapan, mengekalkan segala kontrak sosial yang ada, menjunjung segala hak dan keistimewaan rakyat, Rukun Negara dan kesepaduan sesama kaum dan agama, mereka yakin PN lah kombinasi yang mampu membawa mereka ke arah itu.

Semoga cita-cita rakyat itu tidak dipersiakan dan dapat kita terjemahkan melalui kerjasama padu PN yang bakal melakar dan membina politik baru buat Malaysia.

Semoga PN dapat melahirkan saf kepimpinan yang cekap, berwibawa, bersih dan bertaqwa sehingga menjadi sebutan negara dan dunia sampai bila-bila.

Pedulikan sahaja silap mata dan propaganda kosong politik PH yang cukup sakit menanggung kekesalan dan kekecewaan angkara tidak dapat menerima hakikat kesilapan dan kegagalan mereka. Ini masanya untuk memperkasa PM ke-8 dan kerajaannya bukan memikirkan siapa bakal menjadi PM ke-9 atau 10.

Perikatan Nasional bakal terbina kukuh sebagai gagasan baru politik masa depan Malaysia.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 1/7/2020