WHO pantau strain baharu selesema babi

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang menyelaras kerjasama dengan pihak berkuasa China untuk membuat penilaian lebih teratur mengenai strain baharu selesema babi (H1N1) yang dilaporkan merebak dalam kalangan pekerja ladang-ladang babi di China.

Advertisement

“Sistem kami juga mula mengesan wabak ini dan kami sedang mula mempersoalkan mengenai virus berkenaan,” kata Pengarah Serantau WHO bagi Pasifik Barat, Dr Takeshi Kasai kepada pemberita pada taklimat media secara maya bersama Forum Ekonomi Dunia-Wilayah Pasifik Barat WHO hari ini.

Beliau berkata maklumat semasa yang dimiliki WHO berhubung virus baharu itu tidak mencukupi bagi membolehkan mereka mengambil tindakan lanjut.

“Kami sedang bersiap sedia menghadapi jangkitan influenza, lanjutan kepada COVID-19 ini,” kata Kansai.

Strain baharu H1N1 virus selesema babi ketika ini sedang merebak secara beransur dalam kalangan penternak babi di China, dan ia harus dikawal dengan segera bagi mengelak satu lagi pandemik, menurut sekumpulan saintis dalam kajian terbaharu mereka.
 
H1N1 amat mudah dijangkiti dan merebak di seluruh dunia pada tahun 2009, membunuh kira-kira 285,000 orang dan kini bertukar menjadi selesema bermusim.

Strain baharu, yang dikenali sebagai G4 EA H1N1, biasa dikesan di ladang-ladang babi di China sejak 2016 dan mereplika dengan berkesan dalam saluran udara manusia, menurut kajian yang diterbitkan pada hari Isnin.

Sehingga ini ia telah menjangkiti beberapa orang tanpa menyebabkan penyakit, tetapi pakar kesihatan bimbang ia boleh berubah tanpa sebarang amaran. – BERNAMA