Iktibar ekonomi dari Nabi Syuaib

BENARKAH usahawan? Sebuah pesanan mesra buat rakan-rakan. Kalau dahulu boleh dibilang dengan jari rakan-rakan yang berniaga di Facebook, kini semakin bertambah ramai.

Berusaha dan menyara diri daripada hasil keringat dan kerja keras kedua-dua tangan itu jauh lebih baik daripada meminta-minta dalam banyak keadaan. Saya juga menyertai sebahagian grup di Facebook untuk berjual beli sejak hampir sepuluh tahun lalu.

Ada kesilapan yang pernah saya lakukan ketika awal pengalaman menjual atau membeli secara tempahan. Sehingga hari ini masih saya sesali dan belum melupakan kesalahan tersebut.

Pada awalnya, saya masih belum tahu ia merupakan kesalahan dalam jual beli. Secara logik, saya menganggap selagi tiada transaksi dibuat maka saya berhak membatalkan tempahan. Permasalahan lampau tersebut tidak mahu saya ulas panjang lebar di sini kerana hal tersebut telah pun selesai. Saya telah meminta maaf terhadap penjual berkenaan dan mahu membayar semula kerugian beliau. Beliau pula sangat berjiwa besar memaafkan kejahilan saya ketika itu.

Advertisement

Banyak yang saya belajar selepas ditegur penjual tersebut ketika itu. Saya berterima kasih kepada beliau yang tidak pun saya kenali. Selaku manusia, sangat normal kita berbuat silap. Tetapi ingat, ia bukan alasan untuk terus kekal dalam kejahilan dan berbuat zalim. Kita perlu belajar daripada kesilapan. Usah malu mengaku jahil dan tersalah.

Maka agar kita tidak menzalimi sesiapa, saya menyarankan sahabat-sahabat sekalian dalami ilmu muamalat dan jual beli khususnya yang terkait dengan praktis jual beli sahabat-sahabat. Kerana bidang muamalat ini amat luas. Untuk menguasai semua hukum-hakam, mungkin kita belum mampu. Tetapi untuk menyemak perbuatan kita, amalan kita dalam berjual beli sama ada dibenarkan syarak atau dilarang, pasti kita mampu. Jika tidak mampu, maka tidak sewajarnya kita terlibat sebagai ahli bidang tersebut.

Perihal bermuamalat secara patuh syariah ini, ambillah iktibar dari penentangan kaum Nabi Syuaib. Mereka cukup marah apabila diseru Nabi Syuaib agar berniaga secara adil, mengelakkan unsur penipuan dalam jualan, dan menjual barang tiruan dengan harga produk tulen dan berkualiti tinggi:

وَإِلَى مَدْيَنَ أَخَاهُمْ شُعَيْبًا قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ وَلا تَنْقُصُوا الْمِكْيَالَ وَالْمِيزَانَ إِنِّي أَرَاكُمْ بِخَيْرٍ وَإِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ مُحِيطٍ (84)

“Dan kepada (penduduk) Madyan (Kami utus) saudara mereka Syuaib. Baginda berkata, “Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tiada Tuhan bagi kalian selain Dia. Dan janganlah kalian kurangi takaran dan timbangan, sesungguhnya aku melihat kalian dalam keadaan yang baik (mampu) dan sesungguhnya aku khuatir terhadap kalian akan azab hari yang membinasakan (kiamat).”

وَيَا قَوْمِ أَوْفُوا الْمِكْيَالَ وَالْمِيزَانَ بِالْقِسْطِ وَلا تَبْخَسُوا النَّاسَ أَشْيَاءَهُمْ وَلا تَعْثَوْا فِي الأرْضِ مُفْسِدِينَ (85)

“Dan (Syuaib) berkata.”Hai kaumku, cukupkanlah takaran dan timbangan dengan adil, dan janganlah kalian merugikan manusia terhadap hak-hak mereka dan janganlah kalian membuat kejahatan di muka bumi dengan membuat kerosakan.”

بَقِيَّةُ اللَّهِ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ وَمَا أَنَا عَلَيْكُمْ بِحَفِيظٍ (86)

“Sisa (keuntungan) dari Allah adalah lebih baik bagi kalian jika kalian orang-orang yang beriman. Dan aku bukanlah seorang penjaga atas diri kalian.”

قَالُوا يَا شُعَيْبُ أَصَلاتُكَ تَأْمُرُكَ أَنْ نَتْرُكَ مَا يَعْبُدُ آبَاؤُنَا أَوْ أَنْ نَفْعَلَ فِي أَمْوَالِنَا مَا نَشَاءُ إِنَّكَ لأنْتَ الْحَلِيمُ الرَّشِيدُ (87)

Mereka berkata, “Hai Syuaib, apakah sembahyangmu menyuruh­mu agar kami meninggalkan apa yang disembah oleh bapa-bapa kami atau melarang kami memperbuat apa yang kami kehendaki mengenai harta kami. Sesungguhnya kamu adalah orang yang sangat penyantun lagi berakal.”

(Hud: 84-87)

Mereka menjawab Syuaib dengan nada memperolok-olok, semoga Allah melaknat mereka.

Ingatan seterusnya buat saudara-saudaraku, salah satu surah dalam al-Quran dimulakan dengan ucapan kehancuran dan kecelakaan buat peniaga yang curang:

وَيْلٌ لِلْمُطَفِّفِينَ (1) الَّذِينَ إِذَا اكْتَالُوا عَلَى النَّاسِ يَسْتَوْفُونَ (2) وَإِذَا كَالُوهُمْ أَوْ وَزَنُوهُمْ يُخْسِرُونَ (3) أَلَا يَظُنُّ أُولَئِكَ أَنَّهُمْ مَبْعُوثُونَ (4) لِيَوْمٍ عَظِيمٍ (5) يَوْمَ يَقُومُ النَّاسُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ (6)

“Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang, (iaitu) orang-orang yang apabila menerima takaran dari orang lain mereka minta dipenuhi, dan apabila mereka menakar atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangi. Tidakkah orang-orang itu yakin, bahawa sesungguhnya mereka akan dibangkitkan, pada suatu hari yang besar, (iaitu) hari (ketika) manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam?”

(al-Muthaffifin: 1-6)

Berhati-hati. Saya menulis kali ini bukan untuk mensyarahkan topik-topik dan permasalahan jual beli, tetapi untuk menyeru sahabat sekalian agar bertakwa dan menyelidik produk dan servis kita.

Adakah terselit unsur gharar? Adakah berlaku manipulasi kelemahan prospek untuk manfaat penjual sebagai tujuan utama? Adakah servis yang ditawarkan benar-benar telus atau berlaku tipu helah yang tidak diizinkan syarak? Keuntungan beberapa ribu Ringgit itu wahai akhi, tidaklah bermakna apa-apa jika ia diperoleh dengan cara yang tidak benar.

Rakan-rakan, silakan jual produk. Silakan jual servis. Mahu jadi promoter barang jualan, silakan. Dapatkan income melalui pendaftaran selaku affiliate, silakan. Silakan ambil upah hasil kepakaran yang Allah anugerahkan. Asal saja kepakaran tersebut bukan pakar menipu orang ramai.

Produk, servis dan upah yang mahal tidak mengapa. Tidak menjadi kesalahan asal berbaloi dengan kualiti dan hasil. Namun, jangan sesekali menjual pekerjaan. Pelik tetapi benar, ada yang menjual pekerjaan.

Contoh:

Saya jual pekerjaan ini dengan harga RM3,800, awak boleh bayar bulan-bulan pada saya dalam tempoh tiga tahun. Selepas awak beli pekerjaan daripada saya ini, awak akan dapat gaji RM5,000 setiap bulan.

Pelik tetapi benar-benar berlaku. Bukan broker, bukan simsar, bukan bayaran komisen orang tengah. Bila ditulis contoh seringkas ini, mungkin ramai yang turut kehairanan, Bagaimanalah boleh wujud juga orang yang membeli pekerjaan?

Contoh tersebut adalah olahan daripada ayat bunga-bunga penjual. Jika ditawarkan secara langsung seperti ayat di atas, saya yakin tiada ‘pembeli’ yang mahu terjebak.

Waspada bahasa dolak-dalih dan tidak berterus terang peniaga.

P/s:
Tips bezakan usahawan, hartawan fake dan ori:

*Usahawan sebenar tahu kesukaran membina empayar. Mustahil kaya dalam sebulan dua. Jika ada yang menjanjikan pulangan tidak masuk akal, gunakan hak berfikir yang kita miliki.

Semoga Allah pelihara kita dari azab lembah neraka Weil dan neraka-neraka lainnya. Aamiin.

SOFIA ALWANI ALI – HARAKAHDAILY 2/7/2020