KDN haramkan buku hina Jata Negara

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengharamkan buku bertajuk “Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia” yang muka depannya memaparkan mirip Jata Negara yang didakwa diubah suai.

Menterinya, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata pengharaman itu dibuat berdasarkan Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) 2020.

Advertisement

Menerusi warta perintah larangan bertarikh 1 Julai, melarang sebarang pencetakan, pengimportan, pengeluaran, pengeluaran semula, penerbitan, penjualan, penerbitan, edaran, pengedaran atau pemilikan.

Buku itu dipercayai boleh “memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan, menggemparkan fikiran orang ramai, berlawanan mana-mana undang-undang dan memudaratkan kepentingan negara dilarang secara mutlak di seluruh Malaysia,” kata warta tersebut.

Baru-baru ini, tersebarnya lukisan mirip Jata Negara yang meletakkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang, serta mengubah suai bentuk dua ekor harimau, selain menambahkan bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya.

Semalam, Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman dilaporkan telah menyerbu sebuah syarikat penerbitan buku di Petaling Jaya dan merampas 313 naskhah buku itu.

Jata Negara merupakan lambang rasmi kerajaan Malaysia yang diperkenalkan dan diwartakan oleh Raja-Raja Melayu pada 30 Mei 1952.

Dalam peruntukan undang-undang turut menyebut larangan menggunakan Lambang Negara bagi tujuan yang tidak wajar dalam seksyen 5 Akta lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2016.- HARAKAHDAILY 2/7/2020