Keluhan asnaf disantuni YDP PAS Tambun

TAMBUN: Yang DiPertua PAS Kawasan Tambun, Ustaz Md Salleh Said diringi Penolong Setiausaha 2 PAS kawasan Tambun, Eddy Nor Abdul Manan telah menyantuni beberapa buah keluarga asnaf di RPA 2, Ulu Kinta, di sini semalam. 

Advertisement

Dalam lawatan yang bermula sekitar jam 10 pagi itu, Ustaz Salleh bersama Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan RPA 2 telah menyerahkan bantuan makanan asas bulanan kepada tujuh keluarga penerima di kawasan perumahan itu.

Berikutan kesusahan hidup dan ujian kesihatan yang diadu asnaf, Ustaz Salleh mengambil peluang itu untuk menasihati dan berkongsi taujihat semasa aktiviti ziarah tersebut berlangsung.

“Ujian (ini) Allah beri untuk angkat darjat kita sebagai hamba Dia (Allah). Lebih banyak ujian, lebih tinggi Allah angkat darjat kita. Yang penting kita perlu terus bersabar dan yakin dengan pertolongan-Nya.

“Setiap golongan sama ada kaya (mahupun) miskin, golongan susah (mahupun) senang adalah sama di sisi Allah. Hanya ketakwaan sahaja yang menjadikan kita berbeza. Oleh itu, sama-samalah kita sentiasa meningkatkan ketakwaan dari semasa ke semasa,” jelas beliau.

Ketua PAS RPA 2 Ulu Kinta, Kamaruddin Amir Hussin ketika ditemui berkata, orang ramai dan tabung infak ahli cawangan merupakan pemangkin sumber sumbangan bulanan yang diagihkan kepada asnaf.

“Alhamdulillah, hari ini kita terima sponsor satay yang telah siap dibakar untuk diberikan kepada para penerima. Kita (PAS) amat berbesar hati dengan semua pihak yang membantu kami setiap bulan untuk menjayakan usaha murni ini,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 2/7/2020