Kesilapan sengaja yang terancang

NEGARA ini ada jiwa dan maruahnya. Bukan menjadi tempat untuk mewajahkan sikap yang hodoh lagi tercela dalam meraih populariti berskala tular. Kelaku, bicara dan telatah perlu ada garis sempadan yang perlu ditekuni dan diteladani semua lapisan generasi. Agar ianya sentiasa terpandu dengan keluhuran Rukun Negara. Bangsa dan negara ini ada maruahnya. Identiti kesopanan dan keluhuran yang tidak boleh dicabar dilanggar oleh mana-mana individu atau entiti.

Sebuah karya ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ yang dilihat sengaja mempermainkan Jata Negara Malaysia tidak boleh dipandang sepi. Ianya seolah petanda awal kelompok manusia yang tidak bertamadun mula mencorakkan ‘kesilapan sengaja secara terancang’.

Maruah dan imej negara tidak perlu dibabitkan dalam menampakkan protes dungu dan bodoh. Penghinaan dan perlekehan sebegini perlu dipandang serius oleh pihak berwajib dalam menangani kesilapan sengaja yang terancang ini.

Advertisement

Skrip permohonan maaf selepas kesilapan dungu sebegini kerap berlaku dalam isu-isu sensitif dalam negara. Masih ingat isu bendera Malaysia? Ianya seakan rukun baharu bagi pesalah dengan menjadikan permohonan maaf sebagai resepi mujarab bagi menutup kesalahan. Ianya seakan tiada noktah penyelesaian. Malah menimbulkan keberanian individu mahupun puak tertentu untuk mencabar undang-undang dan maruah negara. Persoalannya, adakah cukup dengan permohonan maaf!?

Pembangkang mahupun kerajaan, situasi sebegini perlu dibendung dan dinyahkan dari terus merebak dan akhirnya membawa negara ke lembah kemelut perpaduan yang kian terhakis akibat sewenangnya melanggar sempadan merah.

Saranan kami dari Dewan Pemuda PAS Kelantan agar pihak berkuasa khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat secara telus dan teliti jika ada pembabitan puak-puak tertentu dalam pembikinan naskah ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope in New Malaysia’ yang sengaja menghina dan memperlekehkan Jata Negara sebagaimana termaktub akta bagi pihak yang menghina lambang Kerajaan Persekutuan Jata Negara, dan boleh disiasat mengikut Seksyen 3 (1) (a) Akta Lambang dan Nama (1963).

Sehingga kini belum kelihatan Ketua Pemuda PH mahupun Ketua Pemuda PAN Kelantan untuk terjah dalam segmen ‘youtubenya’ untuk mengetahui siapa dalang sebenar pembikinan buku tersebut. Mohon lebih kerap ke sana ke sini untuk mencari siapa dalangnya! Usah beraksi bak “Gajah di pelupuk mata tak nampak, semut di seberang lautan nampak”.

JAMAL NAJMUDDIN SULAIMAN
Jabatan Penerangan DPPNK – HARAKAHDAILY 2/7/2020