Malaysia gantung sementara juruterbang warga Pakistan

PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menggantungkan sementara juruterbang bertauliah warga Pakistan yang kini berkhidmat dengan syarikat penerbangan tempatan di Malaysia.

Advertisement

Ini susulan kenyataan Menteri Penerbangan Pakistan, Ghulam Sarwar Khan, Sabtu lalu, bahawa bilangan besar juruterbang negara itu didakwa memiliki lesen palsu atau meragukan.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Chester Voo, dalam kenyataan hari ini, berkata keputusan itu diambil demi keselamatan penerbangan awam negara selepas melakukan penilaian terhadap semua juruterbang warga asing yang bekerja di Malaysia.

Beliau berkata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Pakistan (PCAA) mendedahkan seramai 262 daripada 860 juruterbang aktif di Pakistan tidak menduduki peperiksaan juruterbang dan daripada jumlah itu, 40 peratus juruterbang berkenaan memiliki lesen palsu.

Susulan pendedahan itu, katanya, sejumlah negara mengumumkan keputusan menggantung khidmat juruterbang Pakistan dan melarang Pakistan International Airlines (PIA) daripada mengadakan penerbangan masuk dan keluar dari negara mereka.
 
Voo berkata pihaknya kini melakukan semua usaha untuk mengesahkan ketulenan lesen juruterbang Pakistan, sambil menambah rekod pemegang lesen juruterbang Pakistan akan disemak semula oleh CAAM dengan kerjasama PCAA.

”Juruterbang Pakistan yang memegang lesen yang telah diiktiraf dan disahkan oleh PCAA boleh kembali bekerja dengan serta-merta,”  katanya. – BERNAMA