Muslimat-Srikandi rangka hala tuju politik Johor

PULAI: Muslimat PAS Negeri Johor telah mengadakan kunjungan kepada Srikandi BERSATU Johor dalam pertemuan yang berlangsung di Pejabat BERSATU Johor, Kempas, di sini kelmarin.

Advertisement

Kunjungan ini dalam rangka mengukuhkan hubungan dan mengadakan perbincangan kedua pihak dalam merangka hala tuju bersama dalam Perikatan Nasional di negeri Selatan Tanah Air ini.

Delegasi Muslimat PAS Johor terdiri daripada Jawatankuasa Harian itu telah disambut Ketua Srikandi BERSATU Bahagian Johor Bahru, Azlinda Latif yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri.

Menurut Ketua Muslimat PAS Johor, Ustazah Fatimah Ismail, kedua-dua entiti tersebut bukan sahaja akan memantapkan kerjasama di negeri, tetapi semua peringkat Cawangan dan Parlimen.

Dalam pertemuan sekitar dua jam tersebut, kedua pihak turut bertukar pandangan mengenai suasana politik hari ini serta persediaan ke arah memghadapi PRU15 yang akan datang.

Hadir sama adalah Timbalan dan Naib Ketua, serta Ketua Penerangan dan Pengarah Ameerah PAS Johor, Normala Sudirman, Sabariah Mohd Amin, Yuhanita Yunan dan Nik Nor Nadhirah Nik Ismail.

Pihak Srikandi dalam pertemuan julung kali ini disertai oleh Ketua-ketua Srikandi Bahagian seluruh negeri Johor. – HARAKAHDAILY 2/7/2020