Saran bomba wanita diberi peranan sesuai fitrah

KUALA LUMPUR: Muslimat PAS menyifatkan cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mengkaji semula syarat pengambilan anggota bomba wanita dapat meningkatkan jumlah golongan itu di jabatan berkenaan.

Advertisement

Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, tugas anggota bomba dalam Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) mempunyai pelbagai fungsi, namun diharap tugasan diberi kepada wanita selari dengan fitrah kewanitaan.

“KPKT disarankan membuat survey dan perbincangan lanjut dengan kepimpinan wanita sebelum melaksanakan perkara tersebut. Seterusnya kita mengharapkan pihak kerajaan meningkatkan dan meletakkan wanita (seramai) 30 peratus dalam pembuat dasar pentadbiran negara,” pintanya.

Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya akan mengkaji perkara tersebut untuk meningkatkan jumlah anggota wanita sehingga 30 peratus dari keseluruhan anggota di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menurutnya, hanya terdapat 5 peratus atau 700 anggota wanita daripada keseluruhan 14,400 anggota di JBPM serata Malaysia, maklumnya di Pejabat Penggerak Komuniti Negara (PKN) Parlimen Hang Tuah Jaya, Melaka hari ini.

Muslimat PAS kembali menyuarakan untuk Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional dapat melaksanakan dasar tersebut semasa bertemu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Dato’ Seri Rina Harun baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 2/7/2020