Usaha bawa pulang rakyat M’sia terkandas di Saudi

KUALA LUMPUR: Usaha membawa pulang antara 300 dan 400 rakyat Malaysia yang terkandas di Arab Saudi sedang dilaksanakan oleh Kelab Rakyat Rakyat Malaysia Riyadh (KRMR), sebuah badan bukan kerajaan (NGO), dengan kerjasama Wisma Putra dan syarikat penerbangan.  

Advertisement

Presiden KRMR Shamsuri Mohamad berkata berdasarkan perbincangan beliau dengan syarikat penerbangan, antara kekangan yang dihadapi mereka ialah isu perundangan dan kebenaran mendarat.

“Bagaimanapun, kami berterima kasih kepada Saudi Arabian Airlines yang sebelum ini  membawa penumpang rakyat Malaysia pulang ke tanah air menerusi beberapa penerbangan ke Malaysia.

“Contohnya hari ini (2 Julai), akan ada penerbangan ke Malaysia dari Riyadh dan Damman ke KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur),” katanya kepada Bernama menerusi WhatsApp. Menurutnya usaha itu turut mendapat bantuan kerajaan Arab Saudi.  
 
“Kita harap mereka dapat terus membantu rakyat Malaysia untuk pulang,” katanya, menambah rakyat Malaysia terbabit terkandas di seluruh pelosok Arab Saudi termasuk Riyadh, Jubail, Jeddah, Makkah, Madinah dan Abha sejak penularan wabak COVID-19 bermula pada Mac lepas.

Sementara itu, sebuah lagi NGO yang mewakili rakyat Malaysia di Jubail, Kelab Rakyat Malaysia Jubail (KRMJ) memohon kepada kerajaan dan agensi berkaitan di Malaysia agar memudah cara proses membawa pulang rakyat  yang terkandas berkenaan.

Presiden kelab itu, Sazli Kamaruzzaman berkata perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan kerajaan Arab Saudi antara lain menyaksikan operasi  penerbangan komersil digantung, menyebabkan ramai rakyat Malaysia termasuk yang bekerja dan melancong terkandas. 

Sazli juga berkata ada sesetengah rakyat Malaysia yang terkandas yang bekerja di sektor minyak dan gas di Arab Saudi kehilangan pekerjaan selain pelajar-pelajar yang sudah tamat pengajian dan mahu melanjutkan pengajian di Malaysia.     

Beliau berkata pihaknya bersedia bekerjasama dengan mana-mana syarikat penerbangan lain dalam usaha membantu membawa pulang rakyat Malaysia terbabit. 

Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Sazli menerusi talian WhatsApp +966547776168. – BERNAMA