Cari pelabur untuk hidupkan kembali MAPS

IPOH: Kerajaan Negeri Perak sedang berusaha menarik pelabur bagi mengambil alih pengurusan taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) dan menghidupkannya semula.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi bagaimanapun berkata taman tema yang dibangunkan dengan kos RM520 juta itu kini masih dalam proses pencairan aset.

“Memang harapannya untuk membuka semula MAPS, Namun ia bukan di bawah kerajaan negeri lagi tapi di bawah syarikat swasta.

“Jadi kita sedang cari pengendali dan menawarkan untuk ambil alih pengurusan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program Friends, Family, Fun and Freebie (Foliday) yang dianjurkan Persatuan Penggalakan Pelancongan Inbound Cina (MICA) di The Haven Resort Hotel di sini, hari ini.

MAPS yang dibuka pada tahun 2017, ditutup pada Januari lepas susulan satu notis penutupan dikeluarkan oleh The Receiver and Manager Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP), daripada Messrs Ernst & Young.

Dalam perkembangan lain, Nolee Ashilin berkata perkhidmatan bas ‘Hop On Hop Off’ (HOHO) yang membawa pelancong bersiar-siar sekitar bandar raya Ipoh akan dibuka semula pada Ogos depan, dengan beberapa penambahan destinasi baharu.
 
Selain itu, katanya kerajaan negeri akan cuba mengubah rentak dan menawarkan pakej pelancongan yang berlainan, selepas seluruh dunia kini menghadapi cabaran pandemik COVID-19.

“Salah satu yang saya ingin tekankan di sini, Perak bersama-sama pemain industri dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) akan cuba bukan sahaja memberikan satu rasa selamat dan suasana selamat kepada pelancong yang datang.

“Khususnya buat pelancong domestik melalui Garis Panduan Amalan Terbaik Produk Pelancongan Negeri Perak Pasca COVID-19 yang dilancarkan bulan lepas,” katanya.

Pada pelancaran majlis Foliday itu, Presiden MICA Datuk Dr Angie Ng Wai Sam turut melancarkan inisiatif penyediaan insuran pelancongan COVID-19 yang dianjurkan khusus bagi menghadapi penularan pandemik itu. – BERNAMA