Dua kali ke tiga kali?

DULU, pemimpin PAN yang sekarang ini, ketika mereka duduk dalam PAS, marahkan PAS kerana tidak mahu PAS dipatuk dua kali dalam lubang yang sama oleh Umno. Kata mereka, PAS pernah ditipu Umno sebelum ini.

Mereka semua sangat serius dengan amaran itu. Mereka marah, lalu mereka keluar dari PAS dan menubuhkan parti PAN secara ‘bersikit-sikit’ (tak boleh tulis beramai-ramai, sebab memang tak ramai yang keluar).

Sungguh, mereka memang marah. Buktinya mereka lawan Umno dengan bermati-matian. Hasil dari kesungguhan mereka, PH menang PRU14. Mereka jadi kerajaan tanpa Umno. Mereka bahagia, walaupun Umno belum mati.

Namun bahagia mereka hanya seketika, tidak sempat mendapat pencen, mereka jatuh kembali. Mereka mencari punca. Puncanya Tun yang meletakkan jawatan. Marah mereka semakin membara. Tetapi PAN marah kerana PAS bergabung dengan Umno, bukan kerana Tun yang meletakkan jawatan menjadikan mereka kalah.

Advertisement

Mereka ulang lagi laungan kepada PAS kerana berbaik dengan Umno, memberi amaran supaya PAS tidak masuk dalam lubang yang sama kedua kalinya. Dalam masa yang sama kesedihan mereka kepada PAS yang ditipu itu, mereka juga sangat gembira PAS kalah dan mahu merampas kerajaan negeri milik PAS.

Jelas mereka tak main-main kalau melibatkan sebarang isu kerjasama dengan Umno. Maka lampias kemarahan mereka sekarang ini disasarkan kepada Anwar Ibrahim pula kerana mendapat tahu bahawa Anwar sedang bercita-cita untuk mengadakan kesepakatan dengan PN yang ada Umno di dalamnya.

Mereka menyokong Tun terutama dalam hal yang melibatkan pemilihan PM iaitu meletakkan Shafie Apdal sebagai calon PM. Mereka kata Anwar sudah berkhianat kerana sanggup secara diam, mengadakan perjumpaan dengan TSMY dan Datuk Seri Redzuan.

Anwar juga tidak berguna kerana tidak serik ditipu Umno. Sudah dia ditipu dahulu oleh Umno, nanti ditipu dua kali oleh Umno.

Mereka pula sudah ditipu oleh Tun dahulu ketika berkempen. Kemudian ditipu lagi oleh Tun selepas menang dengan macam-macam alasan. Sekarang masih bersama Tun menunggu untuk ditipu kali ketiga.

Jadi maksud jangan ditipu dua kali dalam lubang yang sama bagi PAN ialah tak boleh ditipu dua kali saja, ditipu tiga kali ok, boleh.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 3/7/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.