PAS lebih pentingkan kestabilan politik – TITM

KUALA LUMPUR: PAS mementingkan kestabilan politik yang lebih baik dan kekacauan politik akibat perebutan kuasa tidak wajar dilayan, kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut beliau, ketika ini perkara yang paling penting yang perlu diberi perhatian adalah pemulihan agenda sosial ekonomi selepas negara terpaksa menghadapi kelembapan ekonomi akibat daripada pandemik Covid-19.

Katanya, rakyat mahukan kualiti kehidupan yang lebih baik dan kepimpinan negara dibawah kelolaan Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar didukung agar negara terus dipacu dengan cemerlang.

Advertisement

“Tempoh tiga bulan kerajaan dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin telah banyak menyelamatkan negara. Antaranya dengan penguatkuasaan PKP, pengurusan PATI yang cekap, pengurusan perkhidmatan kesihatan yang cemerlang, pengumuman pakej PRIHATIN dan PENJANA bernilai RM295 bilion.

“PAS berpendapat pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri wajar terus didukung agar negara terus dipacu dengan lebih baik.

“Rakyat lebih suka keharmonian, bencikan permusuhan, kekacauan dan permainan sentimen perkauman yang melampau,” katanya ketika dihubungi Harakah pada semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan parti itu yang secara rasmi mengumumkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri Malaysia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15.

Mengulas lanjut, menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, pelbagai agenda kini sedang dirancang kerajaan dan memerlukan kepada pelaksanaan secara berdasar oleh kabinet yang dipimpin Presiden Bersatu itu.

Katanya, tempoh 22 bulan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, rakyat perlu berhadapan dengan krisis keyakinan dan kakistokrasi mereka dan Malaysia perlu mengambil iktibar daripada tempoh itu.

Terdahulu, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengumumkan bahawa PAS menzahirkan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU akan datang.

Perkara tersebut diumumkan Ahli Parlimen Marang itu sehari setelah selesai beliau membuat pertemuan bersama pemimpin-pemimpin parti Perikatan Nasional termasuk dari Bersatu, Umno, PBB, MCA, MIC, SUPP, PDP, PRS, PBS, PBRS, dan STAR.

Hal ini bertepatan dengan tindakan PAS yang mahukan kestabilan politik negara demi melihat Malaysia terus berdaya dalam merangsang kembali ekonomi hari ini. – HARAKAHDAILY 3/7/2020