PKD Melor urus kedai kebajikan

KETEREH: Pusat Khidmat Dun (PKD) Melor mewujudkan kedai kebajikan (charity shop) yang pertama di Kelantan dengan mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

ADUN Melor Dr Md Yusnan Yusof berkata, kedai terbabit merupakan model kedai kebajikan yang ditubuh secara meluas di England.

Advertisement

Katanya ia bagi membantu golongan yang memerlukan di mana menjual barangan keperluan pada harga murah.

“Kita wujudkan kedai ini bukan untuk mencari keuntungan. Sebaliknya keuntungan sekadar untuk membuat pusingan modal.

“Kedai ini kita ada tiga bahagian, dua bahagian luar disediakan secara percuma kepada golongan asnaf fakir miskin dan bahagian dalam merupakan barangan runcit yang dijual pada harga murah,” katanya selepas majlis perasmian dan solat hajat di perkarangan Wisma Tok Wali, Kampung Wakaf Tok Wali di sini semalam.

Turut hadir Setiausaha Dun Melor, Mohd Tanazi Ariffin; Pengelola Dakwa Halaqat Ketereh, Ustaz Ishak Hassan, Majlis Penghulu Mukim (MPM) Dun Melor serta penduduk tempatan.
Premis tersebut terletak di Wisma Tok Wali, Kampung Wakaf Tok Wali yang turut menempatkan Pusat Khidmat Masyarakat Dun Melor.- HARAKAHDAILY 3/7/2020