PN menuju puncak, PH semakin retak

PERIKATAN Nasional (PN) menjelmakan satu gabungan utuh yang kian menuju puncak demi Rakyat Malaysia. Gabungan kesepakatan dan kesepaduan yang dipimpin oleh pimpinan utama parti dalam Perikatan Nasional (PN) terus menzahirkan sokongan padu kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pimpinan presiden-presiden parti terdiri daripada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Umno), Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS), Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (MCA), Tan Sri S Vigneswaran (MIC) dan Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Abang Openg (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu).

Selain Profesor Datuk Seri Dr Sim Kui Hian (Parti Rakyat Bersatu Sarawak), Datuk Seri Tiong King Sing (Parti Demokratik Progresif), Tan Sri Amar James Jemut Masing (Parti Rakyat Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili (Parti Bersatu Sabah), Tan Sri Panglima Joseph Kurup (Parti Bersatu Rakyat Sabah) dan Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Parti Solidariti Tanah Airku).

Advertisement

Keutuhan muafakat ini berjaya memacu negara untuk tenang dan konsisten menghadapi kemelut luar biasa yang melanda negara ketika ini. Bermula bibit pertama serangan wabak COVID-19 gabungan ini memancarkan kematangan dalam memimpin rakyat Malaysia untuk bersama-sama memerangi wabak yang amat luar biasa ini. Seterusnya saling bahu-membahu dalam membina suasana kehidupan ‘Norma Baharu’.

Keputusan besar dan mencabar kerajaan dalam memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu selain turut melaksanakan kawalan ketat menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan yang bertujuan mengekang penularan wabak dalam komuniti, seterusnya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah menobatkan Malaysia antara 5 negara terbaik dalam mengangani serta mengawal pandemik virus Corona (COVID-19). Ianya bukan mudah, kerana memerlukan kesepaduan dan sokongan semua pihak.

Muafakat Perikatan Nasional membuktikan kejayaan dengan petanda awal bahawa PN sememangnya sebuah kerajaan sah yang terbentuk Demi Rakyat Malaysia yang sentiasa memikirkan kepedulian terhadap nasib dan permasalahan rakyat walau terbentuk dalam tempoh yang terlalu singkat.

Tempoh 100 hari yang lepas telah membuktikan Kerajaan PN ini mula mendapat sokongan padu rakyat Malaysia dengan siri-siri kejayaan dan kematangan dalam mengurus dan menghadapi kemelut suasana luar biasa ketika ini jauh melangkaui kepentingan politik dan populariti sempit kepartian.

Berbeza di blok pembangkang. Gabungan Pakatan Harapan (PH) kelihatan terus kehilangan punca. Kemelut yang melanda parti-parti di dalam gabungan ini seolah tiada noktah dan penghujung.

Fenomena kemaruk kuasa ditambah lagi dengan badi jawatan calon Perdana Menteri seolah-olah menjadi igaun buruk kepada gabungan ini. Tiada langsung kepedulian rakyat dipaparkan oleh gabungan rapuh ini melainkan skrip perebutan jawatan dan pertelingkahan sesama sendiri yang kerap mewarnai gabungan ini setelah 22 bulan merasai nikmat Putrajaya.

Parti DAP selaku parti yang dianggap senior kelihatan gagal sama sekali membentuk kesepaduan dan kesefahaman di dalam gabungan ini. Malah kerap dilihat liabaliti utama terhadap gabungan ini dengan pendedahan siri-siri penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa sepanjang tempoh 22 bulan berada di tampuk kuasa.

Diikuti parti kedua berpengaruh dalam gabungan ini iaitu PKR yang yang kelihatan ibarat ‘layang-layang terputus talinya’ rentetan Presidennya gagal mendapat sokongan majoriti gabungan PH untuk di nobatkan sebagai calon Perdana Menteri. Ironinya, PKR dan ahlinya sedang mengalami situasi bagai ‘katak ditimpa kemarau’ dengan pergolakan dalaman yang kian menular dan meruncing.

Berbeza sekali dengan parti yang paling junior dalam gabungan ini iaitu PAN yang kelihatan ‘total collapse’ dengan imej pimpinan-pimpinan utamanya yang terpesong jauh dari imej sebelum berkerajaan.

Paparan pimpinan utamanya dengan imej luar biasa dengan gitarnya, dengan petainya, dengan aura Tai-Chinya seolah-olah menggambarkan parti ini sedang mengalami krisis identiti yang teruk sehingga beberapa pimpinan pemudanya meletakkan jawatan.

Begitu juga peranan utama gabungan ini sewaktu kemuncak pembentukan kerajaan pasca PRU-14 iaitu peranan Tun Dr Mahathir. Tun kini sedang berusaha keras untuk mengembalikan kepercayaan gabungan ini kepada auranya untuk membentuk kembali Kerajaan Pakatan Harapan Plus Plus dan Plus.

Namun tindak-tanduknya yang kerap menjadi liabiliti dan punca keretakan utama gabungan PH mutakhir ini amat menggusarkan pimpinan gabungan PH setakat ini.

Percalonan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal sebagai calon Perdana Menteri pilihan Tun mempercepatkan lagi hayat Pakatan Harapan untuk menuju retak.

Perikatan Nasional Kerajaan Rakyat,
Memohon petunjuk peroleh berkat,
Rakyat dan Kerajaan bertaut erat,
Seiring sejalan bina muafakat.

Pakatan Harapan berubah tabiat,
Awalnya ligat kini terjerat,
Calon PM kembali gawat,
Akibat fitnah menjadi kiblat.

JAMAL NAJMUDDIN SULAIMAN
Jabatan Penerangan DPPNK – HARAKAHDAILY 3/7/2020