Polis bongkar taktik ejen judi loteri haram

Aktiviti berselindung di sebalik kedai sah

BUTTERWORTH: Mampu mengaut keuntungan sehingga RM5,000 setiap hari antara sebab ejen-ejen judi loteri haram atau ekor haram tidak serik ditahan oleh polis, malah mereka juga mula menjalankan kegiatan tersebut secara ‘mobile’ bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Advertisement

Modus operandi ejen-ejen itu dengan cara bersembunyi di sebalik perniagaan lain seperti kedai telefon, kedai runcit, kedai peralatan elektrik dan kedai kopi bagaimanapun berjaya dibongkar pihak polis hasil daripada operasi yang berterusan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Noorzainy Mohd Noor berkata berdasarkan siasatan pihaknya juga mendapati ejen-ejen itu turut meletakkan pengawal di hadapan premis yang menjalankan kegiatan judi loteri haram tersebut untuk membenarkan hanya pelanggan tetap sahaja masuk ke dalam premis itu.

“Pelbagai cara mereka jalankan untuk mengelak dikesan pihak berkuasa termasuk hanya menjalankan kegiatan tersebut pada waktu-waktu tertentu sahaja, namun hasil risikan dan intipan pihak polis kami berjaya membongkar kegiatan mereka.

“Sejak Januari hingga semalam, sebanyak 120 operasi judi loteri haram telah dijalankan di daerah ini dan daripada jumlah itu 33 individu termasuk empat wanita yang kesemua berusia antara 20-50 tahun, ditahan kerana terlibat kegiatan itu,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai Ops Dadu Khas Loteri Haram di sini hari ini.
 
Menerusi ops itu, pihak polis bersama pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengambil tindakan dengan memotong bekalan elektrik di sembilan buah premis yang menjalankan kegiatan judi loteri haram di daerah SPU.

Noorzainy berkata sembilan premis yang diambil tindakan itu telah 26 kali diserbu polis sejak Januari hingga Jun tahun ini, namun ejen-ejen loteri haram tetap tidak serik untuk terus menjalankan kegiatan mereka kerana mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit setiap hari.

“Sembilan premis itu menjalankan perniagaan lain antaranya kedai lampu, kedai jual pelbagai beg dan sebagainya, namun ejen-ejen loteri haram itu menggunakan bahagian belakang kedai untuk menjalankan kegiatan itu dengan keuntungan antara RM1,000 dan RM5,000,” katanya.

Katanya susulan serbuan terbaharu di sembilan premis itu sebelum tindakan pemotongan bekalan elektrik dibuat, polis menahan 10 lelaki dan turut merampas pelbagai peralatan berkaitan kegiatan judi loteri haram antaranya telefon bimbit, pencetak, kertas serta wang tunai RM30,870.

“Pihak polis akan meneruskan operasi ini dengan lebih tegas dalam usaha membanteras kegiatan tersebut di daerah SPU dan saya juga minta kerjasama orang ramai untuk membantu menyalurkan maklumat jika terdapat ejen loteri haram di kawasan mereka,” katanya. – BERNAMA