Potensi tenaga nuklear dan atom negara

SELEPAS melawat Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA), saya bersama delegasi meneruskan lawatan ke Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) yang terletak di Bangi, Selangor.

Lawatan telah disambut oleh Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs Dr. Mohd Abd Wahab Bin Yusof bersama pengurusan tertinggi. Selepas itu, taklimat berkenaan peranan, kepakaran, kemudahan yang ada serta teknologi nuklear terkini yang dibangunkan oleh pegawai penyelidik Nuklear Malaysia telah diberikan oleh YBrs Ketua Pengarah.

Pencapaian Malaysia dalam bidang nuklear ini telah diiktiraf dalam International Atomic Energy Agency (IAEA) sama seperti LPTA sebentar tadi. Banyak kelebihan tenaga nuklear yang sememangnya untuk kegunaan seharian kita. Contoh yang boleh kita ambil dalam bidang pertanian, kita telah berjaya membuktikan melalui kajian lapangan, padi NMR 151 dan NMR 152 mampu mengeluarkan hasil sebanyak 2 kali ganda dalam tempoh masa yang lebih singkat.

Advertisement

Saya yakin dengan kebolehan dan kepakaran orang kita dapat melonjakkan potensi penggunaan tenaga nuklear di negara kita.

Saya agak kecewa semalam kerana tidak dapat melawat satu-satunya reaktor nuklear di Malaysia serta Loji Perintis Pemprosesan Bahan Mineral, Pusat Pembangunan Teknologi Sisa (WasTec) yang bertanggungjawab menguruskan sisa radioaktif di seluruh negara.

Insya-Allah saya akan datang lagi.

Lawatan di Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB)

Alhamdulillah semalam saya sempat melakukan lawatan ke Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) di Ibu Pejabat AELB, Dengkil, Selangor. Delegasi ini telah disambut oleh YBrs. Tuan Haji Mohd Pauzi Mohd Sobari, Ketua Pengarah AELB dengan diiringi barisan Pengurusan Tertinggi Jabatan.

Turut bersama saya adalah penasihat sains saya iaitu Prof Ir. Dr Hairul Azhar bin Abdul Rashid dan Prof Madya Dr. Mohd Hanif Yaacob.

Tujuan utama lawatan ini adalah bagi mengenali dengan lebih mendalam fungsi dan peranan AELB yang merupakan salah satu agensi di bawah MOSTI. Secara umumnya, AELB bertanggungjawab dalam mengawal dan mengawal selia keselamatan (Safety), sekuriti (Security) dan kawalgunaan (Safeguards) bagi aktiviti tenaga atom di Malaysia. Ini adalah untuk memastikan ia dikendalikan dengan selamat dan tidak memberikan impak negatif kepada pekerja, orang awam dan juga alam sekitar.

Saya juga turut berkesempatan untuk meninjau kemudahan dan fasiliti yang terdapat di LPTA seperti ke Pusat Sokongan Sekuriti Nuklear (Nuclear Security Support Centre, NSSC), Bilik Rampasan (Bomb Pit) dan Pusat Pengurusan Tindak balas Nuklear Kebangsaan (PTNK).

Malaysia sememangnya berkemampuan dalam mengawal selia penggunaan tenaga atom ini berdasarkan segala peralatan dan kecanggihan teknologi yang kita miliki.

YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi – HARAKAHDAILY 3/7/2020