Saman EU: Langkah Malaysia perlu disokong – GENERASI

KUALA LUMPUR:Langkah kerajaan Malaysia mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas Kesatuan Eropah (EU)berikutan kempen anti minyak sawit satu tindakan yang perlu disokong penuh.

Advertisement

Presiden Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (GENERAS), Ustaz Roslan Md Esa berkata, hakikatnya polisi yang diimplementasikan EU dalam ‘Renewable Energy Directive II'(EU RED II)adalah untuk membuli umat Islam seluruh dunia.

“Kalau kita lihat Indonesia pun dah saman, Malaysia pun akan ambil tindakan yang sama untuk menyaman setelah diputuskan oleh mesyuarat kabinet.

“Saya rasa memang wajar untuk kita menyaman kerana kempen untuk boikot minyak sawit yang dibuat adalah tidak wajar sama sekali.

“Bukan sahaja pada Malaysia bahkan negara-negara lain yang mempunyai komoditi sawit.

“Kita bagi pihak Generasi menyambut baik bila pihak kerajaan mengambil tindakan dengan menyaman sebab ia memang menjejaskan pendapatan rakyat Malaysia khasnya di sektor perladangan sawit ini,” tegas beliau kepada Harakah, 2 Julai.

Walau bagaimanapun, Ustaz Roslan berpendapat KPPK perlu proaktif dan kreatif mengambil langkah awal dengan melaksanakan inisiatif-inisiatif tertentu jika krisis ini terus membarah.

Tambahnya, usaha baik Lembaga Getah Malaysia (LGM)dalam menginovasikan penanaman getah bersama tanaman-tanaman lain boleh dijadikan contoh dan idea.

“Dah sampai masa untuk kita teroka pasaran-pasaran baru dan menginovasikan produk-produk yang berorientasikan sawit.

“Di peringkat sawit, boleh tanam pelbagai tanaman kontra macam lada atau nenas dan dirancang serta dipersembahkan kepada peneroka-peneroka ladang dan ambil idea idea-idea ini untuk dibangunkan di ladang-ladang mereka,” cadangnya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan sudah bersedia untuk tembus pasaran baru jika berhadapan dengan situasi tersebut seperti yang kerajaan telah laksanakan dengan meneroka pasaran sawit ke India.- HARAKAHDAILY 3/7/2020