Saranan GAMIS sempena pembukaan semula IPT

GABUNGAN Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) mengambil maklum kenyataan dari Menteri Kanan (Keselamatan) berhubung pembukaan semula Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang akan dimaklumkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam masa terdekat.

GAMIS melihat perkara ini sebagai respons proaktif kerajaan terhadap kebimbangan mahasiswa dan pelbagai pihak mengenai tahap keberkesanan pengajian secara atas talian.

Justeru, GAMIS mencadangkan beberapa perkara berikut untuk dijadikan pertimbangan oleh pihak kerajaan dalam menentukan tarikh pembukaan semula IPT dan SOP berkaitan:

Advertisement

(i) Tarikh pembukaan semula IPT sewajarnya bermula pada semester hadapan untuk memudahkan universiti membuat persiapan penerimaan semula mahasiswa di kampus.

(ii) Memberi kelonggaran kepada mahasiswa selain daripada lima [5] kategori pelajar berkeperluan untuk pulang meneruskan aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) semester ini dalam suasana yang lebih kondusif di kampus.

(iii) Kerajaan menampung subsidi 50 peratus tiket penerbangan antara Semenanjung dan Sabah atau Sarawak bagi mahasiswa berkeperluan khas seperti pelajar tahun akhir yang perlu menyiapkan disertasi ilmiah tahun akhir.

(iv) Penilaian terhadap situasi kadar jangkitan dalam negara dengan melihat secara terperinci mengikut daerah untuk mengelakkan risiko jangkitan dibawa ke dalam kampus.

(v) Kebenaran untuk pelajar Antarabangsa kembali ke kampus dinilai berdasarkan kedudukan semasa mereka dan situasi pandemik di negara mereka.

(vi) Mengurangkan pertemuan bersemuka kecuali untuk sesi latihan amali dan sebagainya yang memerlukan pertemuan secara bersemuka.

(vii) Mengekalkan bilik gerakan COVID-19 dan talian hotline di peringkat kementerian dan kampus hingga ke satu tempoh yang sesuai menurut KKM dan MKN.

(viii) Mempertimbangkan penyelarasan bentuk pelaksanaan penilaian yang lain di seluruh IPT untuk mengatasi masalah ketidakseragaman capaian internet di beberapa bahagian Malaysia untuk menjawab serentak pada waktu yang sama dan mengelakkan kemungkinan berlaku kebocoran soalan peperiksaan akhir semester.

GAMIS percaya keputusan ini merupakan langkah terbaik daripada kerajaan selepas mempertimbangkan pelbagai aspek dan mendengar keluhan masyarakat di peringkat akar umbi.

Akhir sekali, GAMIS berharap agar pihak kerajaan terutamanya KPT melihat kepada seluruh aspek bermula dari mahasiswa sehingga ke pihak pentadbiran universiti bagi memastikan keputusan yang diumumkan kelak akan memberikan satu keadilan buat semua pihak.

“Demi Islam, Mahasiswa Bangkit”

SAIFULLAH BAIDURI,
Presiden
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) 2020
3 Julai 2020 | 12 Zulkaedah 1441H – HARAKAHDAILY 3/7/2020