Serius soal kelestarian alam sekitar dan air

KUALA LUMPUR: Malaysia telah menghantar satu isyarat kepada rakyat dan dunia bahawa negara ini memberi perhatian serius terhadap alam sekitar apabila mewujudkan Kementerian Alam Sekitar.

Advertisement

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kewujudan tersebut dibuat setelah Jabatan Alam Sekitar (JAS) lebih awal ditubuhkan sejak hampir 50 tahun dahulu dan kemudian digabungkan dengan portfolio air.

“Dua elemen ini paling penting. Kalau kita tengok dalam al-Quran pun Allah Taala menyebut bagaimana air ini jadi sumber segala kehidupan. Jadi kalau kita nak bicarakan soal hidupnya alam, hidupnya udara, segarnya cuaca, nyamannya dan sebagainya, itu elemen hidup itu.

“Elemen hidup itu dia mesti libatkan soal air. Jadi bila Kementerian ini dia kaitkan dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air, bermakna kita memelihara daripada punca untuk kehidupan, punca air, sampailah ke lautan,” kupasnya dalam rancangan 60 Minit Bersama TV AlHijrah, kelmarin dahulu.

Sehubungan itu ujarnya, air melibatkan segala sumber dan puncanya mesti diuruskan dengan baik sesuai dengan keberadaannya yang menguasai 75 peratus muka bumi di mana kekurangannya akan memberi kesan.

Demikian itu peringatnya, alam sekitar dan air adalah elemen yang mesti dijaga dari sebarang unsur pencemaran kerana boleh memberi kesan buruk kepada kehidupan manusia dan makhluk lain serta alam ini.

Beliau dalam rancangan ini turut menyenaraikan agensi di bawah kementerian antaranya JAS, Jabatan Meteorologi Malaysia, Malaysian Green Tech and Climate Change, Yayasan Antartika dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Juga bentangnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (IWK), Pengurusan Aset Air (PAA), Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM).

Dato’ Tuan Ibrahim turut memaklumkan bahawa banyak negeri telah migrasi sumber-sumber air kepada kementerian dan pihaknya akan membantu supaya industri perkhidmatan bekalan air akan diurus lebih baik. – HARAKAHDAILY 3/7/2020