Ke mana halatuju politik negara–negara Arab

SUDAH menjadi ketetapan Allah SWT meletakkan kedudukan negara–negara Arab di tengah tiga benua utama dunia iaitu Asia, Afrika dan Eropah.

Advertisement

Ia turut menjadi tempat kelahiran agama samawi dan juga tamadun awal umat manusia. Kedudukannya juga turut menyebabkan ia menjadi tumpuan percaturan dan pertembungan geopolitik dunia.

Justeru itu, kedudukan negara–negara Arab menunjukkan betapa pentingnya ia dari sudut geopolitik serantau mahupun dunia sejak dari dahulu lagi sehingga sekarang dan besar kemungkinan masa akan datang.

Jika dilihat keadaan sekarang, ketidakstabilan geopolitik dunia Arab telah menyebabkan merebaknya ketidakstabilan dikawasan serantau mahupun hampir segenap pelusuk dunia.

Maka tidak pelik lokasi ini menjadi tempat pertembungan dan jatuh bangunnya tamadun awal manusia. Jatuhnya Empayar Rom setelah berakhirnya perang Yarmouk di Syam, begitu juga jatuhnya Empayar Parsi di antara Syria, Iraq dan Turki yang dikenali dengan nama Mesopotamia.

Empayar Tatar juga ditundukkan dalam peperangan yang berlaku di Ain Jalut, Palestin. Selepas itu kekalahan tentera Salib dalam peperangan Hattin yang menyaksikan tentera Islam yang dipimpin oleh Salahuddin Al Ayubi mengambil kembali kota Baitulmuqaddis.

Peristiwa–peristiwa tersebut sebenarnya telah membuktikan teori ilmuwan dan pakar dalam ilmu geopolitik dunia yang antaranya menyebut bahawa mana-mana kuasa, empayar atau negara yang menguasai kawasan Euroasia ini, maka ia akan menguasai dunia mahupun geopolitiknya.

Setelah sekian lama dunia Arab bernaung di bawah Islam samada dipimpin oleh bangsa Arab sendiri atau bangsa-bangsa lain, kini dunia Arab mengalami kemunduran, kemelesetan dan perpecahan bermula sejak dari kejatuhan kerajaan Islam Uthmaniyyah pada awal abad ke 20.

Disebabkan itu, dunia Arab telah dipecah-pecahkan kepada lebih dari 20 buah negara oleh penjajah-penjajah Barat melalui perjanjian-perjanjian yang penuh dengan tipudaya yang telah menjadi asas perancangan jahat mereka sejak sekian lama untuk menguasai Dunia Islam khususnya bumi Palestin.

Asas penubuhan negara-negara Arab ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk melemahkan serta memecahbelahkan umat Islam dan kesatuan negara–negara Arab.

Selain dari itu, ia bertujuan untuk menjaga kepentingan musuh Islam samada disedari oleh pemerintah-pemerintah negara Arab atau pun tidak.

Dengan hancurnya kesatuan negara–negara Arab, lebih mudah untuk mengawal mahupun mengatur halatuju dan geopolitik negara–negara Arab tersebut.

Halatuju dunia Arab pada hari ini masih lagi berada di bawah telunjuk barat walaupun sudah lebih 100 tahun berlalu sejak dari kejatuhan Khalifah Uthmaniyyah, samada kiblatnya ke arah London, Washington atau Paris.

Pemerintah-pemerintah negara Arab hari ini hanyalah alat yang digunakan untuk memukul antara satu sama lain, maka kembalilah bangsa Arab kepada jahiliyyah seperti yang pernah diberikan amaran oleh Rasulullah SAW untuk menjauhinya. Contoh yang paling jelas hari ini adalah isu berkaitan Palestin.

Halatuju dunia Arab dalam isu Palestin masih lagi berada dalam ruang lingkup kongkongan Amerika Syarikat yang menjaga kepentingan Zionis Yahudi seawal penubuhan negara haram Israel lagi. Mana-mana presiden Amerika Syarikat tidak akan membiarkan keselamatan negara haram Israel terancam.

Negara-negara Arab yang pernah menggugat dan menjadi ancaman kepada Israel dihancurkan satu persatu dengan tidak dinafikan kezaliman pemimpin-pemimpin mereka. Iraq, Libya dan Syria sudah dihancurkan kekuatan persenjataannya serta menjadi lemah dan tidak berdaya.

Dahulu, negara-negara ini menjadi ancaman kepada keselamatan Israel dengan kekuatan ketenteraan dan persenjataannya, tetapi sekarang tidak lagi.

Kemelut dalaman dan perang saudara yang mengorbankan ratusan ribu nyawa manusia telah menghindarkan Israel dari ancaman dan berada dalam keadaan aman.

Matlamat utamanya ialah untuk memastikan Israel menjadi kuasa tunggal dan terulung di Asia Barat. Terbaru pelan Deal of The Century yang dijaja oleh Donald Trump dan Amerika Syarikat, sebenarnya hanyalah untuk menyelamatkan serta menyempurnakan pelan penjajahan agung Zionis Yahudi keatas negara–negara Arab.

Pelan tersebut yang berselindung disebalik agenda sebuah negara merdeka untuk rakyat Palestin hanyalah tipudaya dan muslihat terbaru barat untuk menghancurkan dunia Arab dan kesatuannya yang sememangnya sudah umpama telur dihujung tanduk.

Perjanjian tersebut langsung tidak mempunyai makna kerana bukan sahaja wilayah Palestin dipecahkan–pecahkan serta dijajah secara berterusan oleh regim Israel tetapi dunia Arab dipaksa oleh Donald Trump dan Amerika Syarikat supaya menerima perjanjian tersebut demi kelangsungan mereka.

Arab Saudi sebagai contoh diugut oleh Donald Trump yang mana Amerika Syarikat akan membawa keluar tenteranya dari bumi Arab Saudi setelah fasiliti pemprosesan minyak milik Aramco di Jazan dan beberapa tempat diserang puak Houthi dari Yemen.

UAE sebuah negara yang kaya raya hasil dari limpahan keuntungan minyak mentah yang mengalir dibuminya juga banyak bergantung kepada Amerika Syarikat dan barat untuk kemakmurannya.

Pelabur–pelabur dari Amerika Syarikat dan Eropah adalah pelabur utama dan menjadi arkitek kepada pembangunan dan kemajuan UAE hari ini.

Mesir, negara yang menjadi sekutu kuat Amerika Syarikat banyak bergantung kepada Amerika Syarikat untuk pembiayaan pembangunan dan kelangsungan negara tersebut.

Bantuan berbillion dolar setiap tahun kepada Mesir menjadikan Mesir sebagai ayam tambatan Amerika Syarikat mahupun regim Israel di kalangan dunia Arab.

Begitu juga beberapa negara lagi di dunia Arab yang menjadikan Washington, London dan Paris sebagai kiblat mereka. Kebelakangan ini tindak tanduk negara–negara tersebut umpama lembu dicucuk hidung yang hanya menuruti kemahuan dan kehendak Amerika Syarikat mahupun regim Israel.

I Julai 2020 sepatutnya sudah menjadi tarikh kematian bagi rakyat dan negara Palestin. Tarikh tersebut sepatutnya bermula pengambilalihan atau “ annexation “ oleh regim Israel ke atas wilayah Palestin yang didudukinya iaitu di Tebing Barat dan Lembah Jordan.

Alhamdulillah sehingga ke hari ini, pelan pengambilalihan tersebut seperti tertangguh akibat daripada bantahan dan tekanan banyak negara–negara di dunia yang menyelar pelan tindakan regim Israel tersebut.

Berkemungkinan juga regim Israel sedang berkira–kira tindakbalas keras dari pejuang–pejuang Palestin yang bersiap sedia untuk menyerang balas akibat dari tindakan tersebut.

Cuma yang menyedihkan ialah reaksi negara–negara Arab dan pertubuhannya seperti Liga Arab ke atas pelan regim Israel tersebut. Beberapa minggu sebelum tarikh 1 Julai tiba, barulah negara–negara Arab dan Liga Arab bersuara dan menunjukkan penentangan terhadap pelan pengambilalihan wilayah Palestin oleh regim Israel.

Itupun jika diteliti, penentangan tersebut hanyalah untuk melembutkan Palestin dan rakyatnya serta negara–negara Arab yang menentang pelan tersebut supaya menyebelahi Donald Trump dan Amerika Syarikat yang menyokong tindakan regim Israel.

Negara – negara Arab yang berkiblatkan barat ini sebenarnya tidak melihat kembali kepada sejarah bagaimana kesatuan dunia Arab dan Islam mampu menewaskan musuh yang senantiasa mencemburui Islam dan umatnya.

Mungkin ada dikalangan negara–negara dan pimpinan Arab yang menganggap sejarah lampau sudah tidak relevan dengan keadaan sekarang tetapi hampir 50 tahun dulu, seorang pemimpin Arab membuktikannya.

Krisis minyak atau petroleum pada tahun 1973 membuktikan bahawa bahawa jika negara–negara Arab atau Dunia Islam bersatu padu, ia mampu melemahkan serta menundukkan musuhnya. Ketika itu sedang berlakunya Perang Arab–Israel atau Yom Kippur War diantara negara–negara Arab dan Israel.

Amerika Syarikat, Britain, Belanda, Kanada, Jepun dan beberapa negara lagi menyokong Israel ketika perang tersebut. Akibatnya, negara –negara Arab yang menjadi pengeskport utama minyak dunia ketika itu melaksanakan “ oil embargo “ ke atas negara–negara tersebut sebagai hukuman ke atas sokongan mereka kepada regim Israel.

Oil embargo “ negara – negara Arab tersebut diketuai oleh Raja Faisal bin Abdul Aziz Al Saud, Raja Arab Saudi ketika itu. Akibatnya ia memberi kesan yang begitu teruk kepada negara–negara yang menyokong regim Israel. Ekonomi Amerika Syarikat ketika itu begitu teruk hingga hampir menyebabkan kemelesetan. Begitu juga impak ke atas negara – negara lain yang dikenakan “ oil embargo “ tersebut.

Walaupun bukan dalam masa yang panjang tetapi ia berjaya meyedarkan barat bahawa mereka perlu memecahkan dunia Arab dan Islam agar tidak berlaku lagi perkara sedemikian yang mampu menghancurkan mereka.

Akibat kelalaian dan kemewahan dunia, Dunia Arab sudah hampir kepada zaman jahiliyyah yang mana mereka berperang sesama sendiri demi kuasa, harta dan keegoan masing masing.

Sudah tiba masanya dunia Arab mempunyai pendiriannya yang tersendiri dengan mengembalikan jatidiri Islam dalam isu Palestin, bukannya perkauman Arab yang sempit.

Sejarah membuktikan kegagalan berterusan pemimpin Arab dalam menyelesaikan isu Palestin di atas wadah perkauman Arab apabila Israel terus tidak mengendahkan desakan-desakan mereka samada di atas nama negara masing-masing atau Liga Arab yang terus tidak bermaya.

Sampai bilakah Dunia Arab mahu berpeluk tubuh dan takut bersuara terhadap isu Palestin ? Selagimana tidak dijadikan Islam sebagai titik kesatuan dan kekuatan, selagi itulah dunia Arab akan terus lemah dan ditambat oleh musuh–musuh Islam.

Semoga Allah SWT memberikan hidayah dan kesedaran ke atas dunia Arab agar kembali menjadikan Islam sebagai panduan serta pedoman untuk survival dan kelangsungan dunia Arab serta umat dan Dunia Islam amnya. Moga Palestin dan rakyatnya dilindungi dan diberkati oleh Allah SWT.

Islam Memimpin Perpaduan.

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.- HARAKAHDAILY 4/7/2020