Kedah fokus tarik pelaburan dari negara Islam

pelaburan

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah akan memberi fokus untuk menarik pelaburan baharu dari negara-negara Islam termasuk dalam beberapa projek ikonik di negeri itu.

Advertisement

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, antara negara sedang dalam perhatian adalah Turki susulan hubungan baik yang terbentuk selepas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, April lepas.

“Di Kedah, projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), Kedah Rubber City dan Special Border Economic Zone (SBEZ) di Bukit Kayu Hitam belum ada pelabur besar.

“Jadi, kita perlu tarik pelabur dari luar negara terutamanya negara Islam,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan PAS di Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Beliau berkata cadangan itu turut disuarakan Abdul Hadi yang menyatakan bahawa beberapa kumpulan pelabur dari Turki dan negara Timur Tengah lain boleh dibawa melabur di Malaysia.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri akan memastikan berlakunya pemindahan teknologi dan kerjasama dua hala lebih baik sekiranya ada pelabur dari negara Islam yang terlibat dengan projek ikonik itu nanti.

Katanya, kerajaan negeri juga tidak menolak pelaburan dari negara lain seperti China, yang mana pelaburan sedia ada tetap diteruskan. – BERNAMA