Penceroboh teroka tanah kerajaan diberi amaran

KUALA TERENGGANU: Jangan teroka tanah kerajaan dan ambil hasil hutan sewenang-wenangnya, jika tidak mahu didenda dan dipenjara, demikian amaran Pengarah Perhutanan Negeri Terengganu, Muhamad Abdullah.

Advertisement

Beliau menyatakan penegasan itu berikutan tindakan penduduk setempat yang kini giat menebang pokok di dalam kawasan permohonan Rancangan Tanah Berkelompok sedangkan kebenaran rasmi masih belum diperoleh daripada kerajaan negeri.

Katanya pada Khamis lepas, pihaknya telah mengesan aktiviti sedemikian di dalam kawasan tanah kerajaan Kampung Pasir Semut, Kemaman dan didapati mereka melakukannya secara berperingkat sejak dua bulan lalu.

“Pihak kami menjumpai longgokan hasil hutan iaitu 62 tual kayu balak, 117 tual kayu jaras dan sebuah excavator yang dipercayai digunakan untuk aktiviti tersebut.

“Pihak Jabatan mendapati aktiviti penebangan pokok di dalam kawasan permohonan Rancangan Tanah Berkelompok seluas dua hektar ini dilakukan secara berperingkat melibatkan tebangan pokok spesies nyatoh, kelampaian dan pulai, yang bernilai RM21,000,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Muhamad berkata, bagi mengatasi aktiviti sama berulang,  Jabatan Perhutanan akan meningkatkan lagi rondaan dan semakan di semua kawasan ‘hotspot’ merangkumi Hutan Simpanan Kekal dan Tanah Kerajaan.

Sekiranya ditangkap, mereka boleh disiasat di bawah Seksyen 15 (1), Akta Perhutanan Negara 1984 (Penerimaan-pakai) 1986 yang memperuntukan denda tidak melebihi RM500,000 dan penjara minimum setahun dan maksimum 20 tahun. – BERNAMA