Perak anjur pertandingan PdPc Kreatif ‘online’

SIMPANG PULAI: Kerajaan Negeri Perak telah menganjurkan Pertandingan Proses Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) Kreatif Atas Talian Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia Peringkat Negeri.

Advertisement

Pertandingan buat julung kalinya ini dilaksanakan melalui Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak.

Pengerusinya, Razman Zakaria berkata, pertandingan tersebut adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru yang bertungkus lumus meneruskan Pelajaran dan Pengajaran (PdP) atas talian.

Hargai beliau, peranan para guru untuk itu tidak lain adalah bagi memastikan prestasi murid cemerlang walaupun tidak dapat menjalankan proses tersebut secara langsung akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Apabila ada PKP ini, pembelajaran masih diteruskan oleh guru-guru dengan inisiatif menjalankan proses pembelajaran atas talian seiring dengan pembelajaran norma baharu yang bukan secara langsung.

“Ada juga guru yang menghasilkan video dan bahan-bahan lain bagi menarik minat pelajar selain melabur modal sendiri dalam menyediakan peralatan bagi tujuan itu,” katanya.

Setakat ini, lebih 700 bahan pembelajaran dalam bentuk penghasilan video, infografik, suara, dan sebagainya telah dihasilkan oleh tenaga pengajar di negeri Perak.

“Kita akan kumpulkan bahan-bahan pembelajaran ini supaya dapat dikongsi oleh seluruh pelajar Negeri Perak di masa akan datang.

“Kita minta kebenaran daripada peserta untuk kita kumpulkan bahan tersebut di satu platform supaya dapat diakses oleh semua guru dan pelajar untuk mereka gunakan, bersesuaian dengan topik pelajaran mereka” ujarnya.

Menurut beliau, pembelajaran secara maya akan menjadi alternatif di masa akan datang sebagai sistem pembelajaran norma baharu menggantikan pembelajaran secara bersemuka sekiranya berlaku perkara luar jangka seperti pandemik COVID-19.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Ahmad Lutfi Abu Bakar berkata, program tersebut juga bertujuan mencungkil dan memberi pengiktirafan kepada kreativiti guru dalam menyampaikan pengajaran.

“Kita juga menggalakkan guru-guru menghasilkan bahan PdPc yang kreatif dan menarik selain membudayakan medium atas talian dalam kalangan warga pendidik,” jelasnya.

Pertandingan yang berlangsung sepanjang Julai ini melibatkan empat kategori, termasuk Prasekolah, Pendidikan Khas, Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah yang menawarkan RM3,000 kepada johan, manakala RM2,000 dan RM1,000 kepada Naib Johan dan pemenang tempat Ketiga.

Kreativiti tenaga pengajar dalam menjalankan proses PdP secara atas talian memberi nafas baru bagi pendidik dalam menyampaikan maklumat.

Sekolah di daerah-daerah negeri Perak telah mula menggunakan platform maya sebagai inisiatif pembelajaran sejak PKP dikuatkuasakan pada Mac lalu.

Dalam lawatan kerja yang sama, Razman berkesempatan meninjau pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Pembelajaran di Sekolah Kebangsaan Simpang Pulai yang baru memulakan kelas pembelajaran minggu ini. – HARAKAHDAILY 4/7/2020