PM PRU15: Calon Muhyiddin demi kebaikan negara

ALOR SETAR: Tan Sri Muhyiddin Yassin dinamakan sebagai calon Perdana Menteri pada PRU15 oleh Muafakat Nasional (MN) kerana beliau dilihat membawa kebaikan kepada negara, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Advertisement

Beliau berkata Muafakat Nasional menyokong Muhyiddin, yang juga Presiden BERSATU, sebagai calon terbaik Perdana Menteri.

“Kita mendukung bererti kita tak tamak, bagi kita apa yang menjadi kebaikan kita terima, rakyat memilih dan buat penilaian. Kita lihat itu yang terbaik, bagi rakyat dan negara.

“Jadi ini keputusan dalam Muafakat Nasional kita, ramai calon kita ada. Tetapi apa yang penting ialah Tan Sri Muhyiddin diterima rakyat dan apa dia buat selama ini sangat baik untuk negara dan kita perlu teruskan kebaikan,” katanya.

Beliau menjelaskan demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan PAS di Seri Mentaloon di sini hari ini.

Tuan Ibrahim mengulas kenyataan Presiden Parti Putra Malaysia (PUTRA) Datuk Dr Ibrahim Ali semalam, yang menyifatkan pengumuman MN mengenai pencalonan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri membuktikan semua pemimpin dalam Umno dan PAS tidak layak ditonjolkan untuk jawatan itu.

Khamis lepas, Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan ringkas dalam laman Facebook rasminya memaklumkan keputusan PAS menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri pada PRU15.

Manakala Setiausaha Bersama MN Tan Sri Annuar Musa mengesahkan MN secara prinsipnya bersetuju untuk terus memberi sokongan kepada Muhyiddin sebagai calon perdana menteri pada PRU15. – BERNAMA