Veteran tentera tinggal dalam khemah disantuni ATM

PORT DICKSON: Kisah seorang bekas tentera yang tinggal di dalam khemah di Kampung Teluk, Pasir Panjang, di sini, sejak lima tahun lepas, mendapat perhatian Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Advertisement

Khemah yang menjadi tempat berteduh buat Mohammad Nor Saifuddin Abdullah, 44, atau lebih dikenali sebagai ‘Din Iban’ yang merupakan veteran tentera tidak berpencen ini, hari ini dikunjungi Ketua Pengarah JHEV ATM Datuk Dzulkarnain Ahmad.

Dalam lawatan kebajikan itu, Dzulkarnain telah meluangkan masa lebih dua jam bagi menyantuni Mohammad Nor Saifuddin yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan di Akademi Pembangunan Belia Negara, Port Dickson dan turut menjual hasil laut di pantai untuk mencari rezeki.

Dzulkarnain berkata sebelum ini Mohammad Nor Saifuddin telah dikunjungi Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Daerah, Jabatan Agama, wakil kerajaan negeri dan wakil anggota Parlimen Port Dickson.

“Ini menunjukkan pelbagai pihak amat cakna akan kebajikan veteran ini. Beliau juga telah diminta berdaftar dengan JHEV ATM bagi memudahkan bantuan disalurkan kepadanya,” katanya di sini, hari ini.

Dalam lawatan itu, Dzulkarnain telah menyampaikan beras dan wang zakat kepada Mohammad Nor Saifuddin yang merupakan sebahagian daripada agenda mengutamakan kesejahteraan veteran ATM.

Khamis lepas, sebuah media melaporkan bekas tentera sanggup tinggal dalam khemah sejak lima tahun lalu kerana enggan berjauhan dari empat anaknya selepas berpisah dengan isteri.

Tindakan itu sekali gus memudahkan anak-anaknya itu menziarahinya memandangkan bekas isteri sudah berkahwin lain. – BERNAMA