Asrama SMA Al-Falah terbakar, pelajar selamat

RAUB: Kebakaran mengejut ketika kebanyakan pelajar sedang tidur telah memusnahkan hampir keseluruhan struktur bangunan tingkat 3 asrama Sekolah Menengah Agama Al-Falah Batu Talam, di sini hari ini.

Advertisement

Bagaimanapun, semua 51 pelajar Tingkatan 4 dan 5 asrama tersebut terselamat dalam kejadian sekitar jam 4:00 pagi itu dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 6:00 pagi oleh pihak Bomba dan Penyelamat.

Seorang pelajar, Muhammad Aris, 16 berkata, semua barangnya musnah dijilat api dalam tragedi itu termasuk kitab dan buku teks, pakaian, kad pengenalan dan sejumlah wang untuk membayar yuran.

Difahamkan, pelajar yang menginap di aras satu dan dua sempat menyelamatkan barangan masing-masing, namun sebaliknya pelajar di tingkat 3 hanya dapat menyelamatkan diri sehelai sepinggang.

Dua pasukan bomba berkekuatan 12 anggota bersama 2 Penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub dan BBP Sungai Koyan telah bergegas dan bertungkus-lumus memadamkan kebakaran.

Sekolah ini diasaskan pada 24 Oktober 1966 oleh Haji Jais Debek dan nama ‘Al Falah’ itu pula diberikan oleh salah seorang guru dan pentadbir sekolah dikenali sebagai Tuan Syed Sagof Tuan Syed Idrus.

Sejak 1975, sekolah ini telah menerima sumbangan dari Jabatan Agama Islam Pahang berupa beberapa bangunan, manakala pada tahun 1985, ia diambil alih sepenuhnya oleh pentadbiran Jabatan Agama Islam Pahang.

Dalam kalangan 18 sekolah menengah agama (SMAN) di bawah Kerajaan Negeri Pahang, Al Falah menjalankan pendidikan akademik dan agama serta tahfiz Al-Quran.

Pengerusi PIBG Sekolah Menengah Agama Al Falah, Mustapha Faidzul Hamli  mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan sumbangan dan juga pimpinan yang sudi datang menziarahi dan menyantuni warga sekolah ini.

Orang ramai yang bersimpati bolehlah menghulurkan sumbangan ke tabung kebakaran menerusi  akaun Bank Islam Malaysia Berhad 0604-6010-0030-10 atas nama PIBG SMA Al-Falah Bt Talam Raub.

Sebarang transaksi sumbangan bolehlah dimaklumkan Mustafa menerusi talian WhatsApp 012-9005187 atau Ustaz Syed Sulaiman (Setiausaha PIBG) di talian 011-18703949. – HARAKAHDAILY 5/7/2020