DHPP tulang belakang PAS untuk bukan-Islam

TEBRAU: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Negeri Johor 2.0 telah dilancarkan serentak bersama DHPP Kawasan Tebrau oleh Naib Ketua DHPP Pusat, S. Surianarayanan di Markas PAS Tebrau, di sini semalam.

Advertisement

Dalam ucapannya pada majlis itu, beliau menyatakan komitmen setiap ahli DHPP untuk menjadi tulang belakang kepada PAS khususnya dalam meraih sokongan pengundi daripada masyarakat bukan-Islam.

Malah akuinya penuh optimis, DHPP adalah medan yang betul dan tepat untuk perjuangan orang bukan-Islam kerana keyakinan kepada kepimpinan dan dasar diperjuangan oleh PAS.

Pengerusi DHPP Johor, Kamutha Raman pula dalam ucapannya menyingkap sejarah penubuhan DHPP di negeri itu pada pelancaran 1.0 sebelum krisis 2015 hingga bertapak di Tebrau, Kulai, Ledang, Pasir Gudang dan Johor Bahru.

Manakala Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin pula menyentuh kepentingan sokongan bukan-Islam kepada pemerintahan Perikatan Nasional dalam meraih keharmonian kaum.

Menurutnya, bukti pengiktirafan PAS kepada masyarakat bukan-Islam apabila Ketua DHPP Pusat, N Balasubramanian dilantik selaku Senator Dewan Negara.

Selain dialog, majlis turut diserikan dengan penyampaian sumbangan kepada 30 penerima dan majlis turut dihadiri ADUN PAS Bukit Pasir, Kapten (B) Najib Lep dan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Juga hadir adalah Ketua Pemuda PAS Johor, Ahmad Nawfal Mahfodz dan Timbalan Ketua Muslimat PAS Johor, Normala Sudirman serta Ketua Penerangan PAS Johor, Rusman Kemin. – HARAKAHDAILY 5/7/2020