DAP kenapa perlu takut? – Ir Rafaie

KUALA LUMPUR: DAP tidak perlu rasa takut berdepan pandangan awam dalam siasatan kes berkaitan Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Jefrey Chew Gim Eam yang baru-baru ini ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan membabitkan kes projek dasar laut Pulau Pinang.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Ir Ahmad Rafaie A Rashid, mereka harus memberi laluan kepada SPRM untuk menjalankan tanggungjawab yang digalas badan bebas tersebut dengan baik.

Jelasnya, beliau sebagai seorang yang sayangkan Pulau Pinang dan Malaysia, beliau sangat mengalu-alukan sebarang usaha SPRM untuk menyiasat dan mengambil tindakan sekiranya terdapat mana-mana individu yang dibuktikan bersalah.

Advertisement

“Bagi DAP dan PAN, kalau tak bersalah, buat apa nak takut sampai kena buat solidariti untuk Jeffrey Chew, biarlah pihak autoriti membuat kerja mereka dengan baik.

“Kalau benar bersalah, maka sewajarnyalah dihukum dengan hukuman yang setimpal supaya menjadi pengajaran kepada individu tersebut dan juga kepada masyarakat umum,” katanya.

Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Ir Ahmad Rafaie A Rashid

Mengulas lanjut, menurut Ahmad Rafaie, kes rasuah membabitkan projek dasar laut Pulau Pinang sememangnya hangat diperkatakan beberapa tahun ini.

Bagaimanapun, beliau kesal kerana tiada tindakan diambil berkemungkinan kes tersebut mendapat perlindungan daripada orang-orang tertentu, ujarnya.

“Kalau SPRM dah mulakan siasatan semula, baguslah. Tunaikan amanah Allah ini sebaiknya, bersyukur masih ada pihak berwajib yang berusaha melindungi harta rakyat daripada salah guna pihak tertentu. Yang benar, lepaskan. Yang salah, ambillah tindakan sewajarnya,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily.

Jeffrey Chew direman empat hari oleh SPRM bermula 1 Julai lalu bagi membantu siasatan kes projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Difahamkan, SPRM menyiasat kes terowong itu selepas mendapat bukti baharu, dan susulan itu ramai saksi sudah dipanggil termasuk Jeffrey Chew selain individu dari pejabat kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Seberang Perai.

Bagaimana pun, bekas Setiausaha Politik Lim Guan Eng itu dibebaskan dengan jaminan tanpa sebarang syarat serta dengan jaminan RM100,000.- HARAKAHDAILY 6/7/2020