Ditahan ketika asyik berhibur dalam pesta liar

KLUANG: Polis menahan 76 individu yang disyaki terlibat dalam pesta liar di sebuah rumah inap di Jalan Delima, di sini awal pagi semalam.

Advertisement

Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Mohd Abduh Ismail berkata, kesemua 56 lelaki dan 20 wanita berumur antara 15 dan 35 tahun itu ditahan pada kira-kira 1:30 pagi.

Mereka ditahan oleh sepasukan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang yang melakukan Operasi Pesta Liar.

Beliau berkata, ketika ditahan, masing-masing sedang asyik berhibur sambil berjoget dengan mendengar muzik yang kuat tanpa menyedari kehadiran pihak polis.

“Semasa pemeriksaan tubuh dilakukan, polis menemukan beberapa bahan terlarang daripada tiga lelaki iaitu sepeket plastik disyaki dadah jenis ketamin dianggar seberat 1.85 gram.

“(Juga) sepeket plastik disyaki dadah jenis ganja dianggar seberat 1.8 gram serta 21 biji pil disyaki ekstasi,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati 28 lelaki dan 10 wanita positif dadah dan mereka kini direman sehingga 8 Julai ini.
 
Para peserta difahamkan hadir selepas mendapat maklumat menerusi aplikasi WhatsApp daripada penganjur yang berasal dari Batu Pahat dengan masing-masing dikenakan bayaran RM30.

“Kesemua 76 individu yang ditahan ini akan didakwa mengikut Perkara 11 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 iaitu berkumpul di suatu tempat tanpa penjarakan sosial.

“Selain itu, bagi kesalahan penyalahgunaan dadah pula, mereka yang terlibat akan disiasat mengikut Seksyen 39A (1), Seksyen 12(2), Seksyen 6 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Mohd Abduh turut menasihati pengusaha rumah inap supaya mengenal pasti pelanggan yang menyewa premis mereka dan ibu bapa supaya sentiasa mengawasi aktiviti anak-anak bagi mengelakkan terlibat aktiviti penyalahgunaan dadah. – BERNAMA