Indikator sokongan rakyat kepada MN-PN

KUALA LUMPUR: Kemenangan besar calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain dalam Pilihan Raya Kecil DUN Chini (PRK)merupakan satu signal dan juga penanda aras penerimaan masyarakat terhadap Muafakat Nasional (MN) dan juga Perikatan Nasional (PN).

Advertisement

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata, ia menjadi satu indikator bagaimana Pakatan Harapan (PH) tidak diterima dalam kalangan orang Melayu dan penduduk di luar bandar.

Menurutnya, ini merupakan satu isyarat yang menunjukkan bagaimana rakyat sudah trauma dengan PH yang memerintah selama 22 bulan.

PH ketika itu katanya, mengemudikan negara di bawah telunjuk DAP sehinggakan rakyat memberikan satu lagi isyarat penolakan terhadap PH menerusi siri-siri kemenangan calon Muafakat Nasional dalam PRK.

“Bahawasanya kami tidak menerima PH untuk menerajui dalam PRK yang akan datang.’

“Kita dapat melihat bagaimana kemenangan ini sebagai kerjasama yang baik kerana didukung dan disokong oleh pimpinan-pimpinan PAS di peringkat DUN.

“Juga di peringkat kawasan Pekan serta di seluruh dari kalangan pimpinan PAS di peringkat negeri Pahang yang memberikan kerjasama cukup baik di dalam PRK Chini yang lepas,” ujarnya.

Kerjasama semasa kempen PRK Chini semakin kukuh.

Mengulas lanjut, Ustaz Idris berkata, PH tidak berani untuk meletakkan calon mereka atas lambang mereka sendiri yang selama ini menguar-uarkan bahawa mereka merupakan parti yang mendapat sokongan kononnya rakyat menolak PN.

Namun terbukti berlaku sebaliknya melalui jumlah peti undi yang menyebelahi Mohd Sharim pada hari pengundian PRK DUN Chini, pada hari Sabtu lepas.

Dalam pada itu, beliau mengambil kesempatan merakamkan ucapan tahniah kepada Mohd Sharim atas kemenangannya.

PRK DUN Chini menyaksikan Mohd Sharim, 41, menang dengan majoriti 12,650 undi, selepas memperoleh 13,872 undi.

Beliau menewaskan dua calon dari Bebas, iaitu Tengku Dato’ Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, yang mendapat 1,222 undi dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, dengan memperoleh 137 undi.- HARAKAHDAILY 6/7/2020