Islam dan didikan anak-anak

anak

IBU bapa tunjuk teladan, bukan sembang kosong

Dalam kisah Luqamanul Hakim yang dirakamkan oleh Allah S.W.T dalam Surah Luqman pada ayat 12 sehingga 19 menjadi panduan asas kepada pengajaran dan pendidikan pembentukan akhlak anak-anak.

Dari ayat-ayat tersebut sebelum memulakan apa wasiat Luqmanul Hakim, Allah memulai pada ayat 12 bahawa Luqmanul Hakim adalah lelaki yang diberikan hikmah kepadanya.

Advertisement

Firman Allah S.W.T:

وَلَقَدۡ ءَاتَیۡنَا لُقۡمَـٰنَ ٱلۡحِكۡمَةَ أَنِ ٱشۡكُرۡ لِلَّهِۚ وَمَن یَشۡكُرۡ فَإِنَّمَا یَشۡكُرُ لِنَفۡسِهِۦۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَنِیٌّ حَمِیدࣱ

“Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)”. Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.”

[Luqman: 12]

Sehubungan itu, Luqmanul Hakim bukanlah seorang yang ‘bercakap kosong’ atau hanya ‘sembang kencang’ tetapi ia bermula dengan dirinya yang dikurniakan hikmah. Menyampaikan sesuatu yang ‘real’ bukan retorik.

Ibu bapa boleh memberikan 1001 motivasi kepada anak-anak, namun ia tidak akan berkesan jika hanya suruhan kepada anak-anak tanpa ada teladan dari ibu bapa sendiri.

Di kala ibu bapa pening memikirkan ke mana mahu dihantar anak-anak ke kem-kem bagi pembentukan syakhsiah dan kejayaan, namun ibu bapa juga perlulah ‘menghantar diri sendiri’ ke kelas-kelas pengajian.

Jika ibu bapa mengharapkan anak-anak menghafaz al-Quran, maka ibu bapa turut serta sekali menghafaz surah-surah dalam al-Quran.

Ini kerana modul yang berjaya bermula dengan diri sendiri yang menjadi teladan. Inilah rahsia kejayaan modul pendidikan anak-anak kerana ia berkata dengan ‘hati’ kepada ‘hati’ bukan hanya dari ‘suara mulut’ ke ‘pendengaran mulut’ namun tidak sampai ke hati.

Ibu bapa jangan lupa pesan bab aqidah

Asas dan permulaan wasiat Luqmanul Hakim ialah menegaskan larangan mensyirikkan Allah. Ini pendidikan asas lagi wajib bagi membezakan pendidikan dari ibu bapa Muslim dan bukan-Muslim. Ibu bapa Muslim meletakkan nilai aqidah adalah utama dan tertinggi. Tanpa aqidah Islam, maka hancurlah kehidupan dunia dan akhirat kelak.

Firman Allah S.W.T:

وَإِذۡ قَالَ لُقۡمَـٰنُ لِٱبۡنِهِۦ وَهُوَ یَعِظُهُۥ یَـٰبُنَیَّ لَا تُشۡرِكۡ بِٱللَّهِۖ إِنَّ ٱلشِّرۡكَ لَظُلۡمٌ عَظِیمࣱ

“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:” Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.””

[Luqman: 13]

Dalam kekalutan ibu bapa memikirkan masa depan duniawi anak-anaknya dalam kejayaan akademik, pekerjaan yang baik dan kelengkapan hidup yang selesa, jangan diabaikan soal aqidah malah jangan diletakkan nilai aqidah pada tempat kedua dan kebelakang. Nilai aqidah mestilah menjadi asas dan perkara utama.

Berapa kerap kita menegaskan soal aqidah dengan anak-anak kita? Kadang kala, soal makan menjadi lebih kerap ditekankan berbanding soal aqidah. Tidak salah bertanya dan mengambil berat soal makan minum, namun peringatan dan pesanan berkenaan soal aqidah jangan disepikan.

Malah kita juga dapat lihat bagaimana antara pesanan akhir Nabi Yaakub kepada anak-anaknya di saat menghampiri saat kematian. Menunjukkan kerisauan seorang ayah tidak sekadar keselesaan duniawi tetapi lebih utama soal aqidah kerana ia melibatkan sehingga nasib di akhirat.

Firman Allah S.W.T:

أَمۡ كُنتُمۡ شُهَدَاۤءَ إِذۡ حَضَرَ یَعۡقُوبَ ٱلۡمَوۡتُ إِذۡ قَالَ لِبَنِیهِ مَا تَعۡبُدُونَ مِنۢ بَعۡدِیۖ قَالُوا۟ نَعۡبُدُ إِلَـٰهَكَ وَإِلَـٰهَ ءَابَاۤىِٕكَ إِبۡرَ ٰ⁠هِـۧمَ وَإِسۡمَـٰعِیل وَإِسۡحَـٰقَ إِلَـٰهࣰا وَ ٰ⁠حِدࣰا وَنَحۡنُ لَهُۥ مُسۡلِمُونَ

“(Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?” Mereka menjawab: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman).””

[al-Baqarah: 133]

Ibu bapa pimpinlah anak jangan bersifat ‘keakuan’

Menarik menerusi wasiat Luqmanul Hakim ialah selain dari pasak aqidah dan soal ibadah menerusi suruhan mendirikan solat, terdapat juga intipati dalam wasiat tersebut agar anaknya melakukan tugasan amar makruf nahi mungkar.

Firman Allah S.W.T:

یَـٰبُنَیَّ أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ وَأۡمُرۡ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَٱنۡهَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَٱصۡبِرۡ عَلَىٰ مَاۤ أَصَابَكَۖ إِنَّ ذَ ٰ⁠لِكَ مِنۡ عَزۡمِ ٱلۡأُمُورِ

“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.”

[Luqman: 17]

Alangkah sedihnya apabila jika ada mentaliti ibu bapa yang hanya mementingkan keakuan anaknya dan jadilah anaknya bersifat keakuan. Tidak cakna soal masyarakat sekeliling, tidak ambil kisah soal isu saudara seislam. Hanya cukup ‘aku berjaya’ dalam peperiksaan, itu sahaja minda yang ada.

Tidak terlibat persatuan dan program dakwah ketika di kampus, hanya fikir sekeping kertas sijil. Itu sahaja. Nilai hidup hanya untuk memenuhi perut sendiri sahaja. Alangkah sedihnya jika wujud minda mendidik anak-anak sebegini.

Malah lebih malang, jika tanda aras kejayaan anak-anak yang dididik jika hanya pada ukuran materialistik semata-mata. Sedangkan doa yang dibacakan setiap kali lepas solat ialah menjadi pemimpin kalangan orang bertakwa. Ukuran pada capaian taqwa, bukan kebendaan.

Sebagaimana firman Allah S.W.T:

وَٱلَّذِینَ یَقُولُونَ رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَ ٰ⁠جِنَا وَذُرِّیَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡیُنࣲ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِینَ إِمَامًا

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.”

(al-Furqan: 74)

USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 6/7/2020