K’jaan prihatin, pulihkan mata pencarian rakyat

MATA pencarian adalah penting dalam kehidupan. Ianya juga kunci untuk mengeluarkan isi rumah dari kemiskinan. Pandemik pula merupakan salah satu ancaman kepada mata pencarian manusia. Pemulihan kepada kehilangan mata pencarian bukan sesuatu yang mudah kerana ianya bergantung kepada tahap ancaman kepada sistem sumber mata pencarian iaitu sumber semulajadi, tenaga kerja, kedudukan kewangan, kemudahan fasiliti dan hubungan sosial.

Pandemik COVID-19 ini telah dilihat mengancam kesemua sumber-sumber di atas dengan mendadak. Sebagai sebuah kerajaan prihatin, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menyediakan pelan stimulasi ekonomi atau pemulihan ekonomi yang dikenali sebagai PRIHATIN apabila Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan PENJANA untuk menghadapi tempoh pemulihan (PKPP).

Melihat kepada kadar pengangguran pekerja Malaysia pada akhir bulan Mac 2020 sebanyak 3.4 peratus meningkat kepada 5 peratus seperti yang dinyatakan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Bin Tengku Abdul Aziz semasa dalam wawancara rancangan televisyen Money Matters semalam, ianya perlu diselesaikan dengan teliti dan cermat. Cabaran negara pada tahun ini adalah jangkaan peningkatan kepada peningkatan defisit sehingga 6 peratus dan bermaksud pendapatan dari perbelanjaan fiskal negara juga berkurang.

Advertisement

Namun, kebijaksanaan Kerajaan Perikatan Nasional ini jelas nyata apabila mempunyai target untuk memastikan stimulasi ekonomi ini berjalan lancar dengan fokus kepada suntikan ekonomi atau bantuan kewangan terutama kepada rakyat, SME dan industri lain yang sangat terjejas. Fokus untuk perkembangan ekonomi juga menjadi keutamaan tanpa menghentikan projek-projek mega negara yang nyata sebenarnya mempunyai nilai peningkatan kepada perkembangan GPD negara paling kurang 1 peratus sepertimana PENJANA dan PRIHATIN menyumbang sebanyak 3 peratus.

Harapan pemulihan ekonomi ini adalah untuk kita menikmati ekonomi yang lebih baik pada tahun 2021. Selain daripada belanjawan yang inklusif dan menyeluruh keyakinan pelabur dan pengguna perlu ditingkatkan mulai tahun ini bagi memastikan takat ekonomi kita terus berkembang dan meningkat. Di sinilah permulaan kepada pemulihan sumber kepada mata pencarian rakyat yang perlu dipulihkan bagi memastikan kerentanan rakyat bagi menghadapi ancaman mendatang dan seterusnya menjamin kelestarian mata pencarian mereka.

ZHARUDIN NARUDIN
Ketua Penerangan PAS Sarawak – HARAKAHDAILY 6/7/2020