Malaysia gesa Al Jazeera mohon maaf

KUALA LUMPUR: Agensi berita antarabangsa Al Jazeera digesa memohon maaf kepada rakyat Malaysia berikutan tuduhan membuta tuli menerusi satu laporan dokumentari yang mendakwa kerajaan telah mendiskriminasi dan rasis terhadap warga asing.

Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tuduhan media antarabangsa itu amat tidak wajar seolah-olah berniat tidak baik tehadap Malaysia dengan mengemukakan fakta yang mengelirukan dan tidak jelas.

Advertisement

“Tuduhan kita mengurung secara tidak adil PATI (pendatang asing tanpa izin) adalah tidak benar kerana bukan setakat PATI yang dikurung, malah PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat) di kawasan lain seperti pusat tahfiz di Hulu Langat dan perkampungan di Hulu Langat juga dikurung. Bukan saja membabitkan warga asing semata-mata.

“Warga tempatan turut sama dikurung untuk mestikan tidak ada mereka yang keluar dari dalam dan individu dari luar mudah masuk ke dalam.

“Malahan, setiap individu di kawasan PKPD dibuat saringan termasuk PATI dan kerajaan menanggung kos saringan mereka,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurutnya, tuduhan yang mengatakan kerajaan Malaysia bersifat perkauman atau rasis adalah tidak benar kerana tindakan yang dilakukan oleh kerajaan berdasarkan undang-undang serta menggunakan akta Imigresen untuk tangkap mereka yang tiada dokumen sah.

“Kita boleh tanya Al Jazeera, berikan mana-mana negara yang membenarkan warga asing yang tiada dokumen boleh bebas di negara mereka. Saya cabar Al Jazeera tunjukkan negara mana yang berikan kebebasan mutlak. Setahu saya tidak ada,” katanya.

Ismail Sabri turut menyangkal tuduhan Al Jazeera mengatakan kanak-kanak turut digari semasa operasi besar-besaran untuk menangkap PATI diadakan.

“Kanak-kanak tidak pernah digari malah mereka ditempatkan bersama ibu bapa mereka di satu tempat yang khusus di depot tahanan, mereka tidak dicampurkan dengan tahanan-tahanan lain,” jelasnya lagi.

Terdahulu, laporan dokumentari Al Jazeera bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ yang mendakwa terdapat isu perkauman dalam mengendalikan Covid-19 di Malaysia.- HARAKAHDAILY 6/7/2020