Pawagam Terengganu: DAP tiada hak pertikai

KUALA LUMPUR: Sikap biadap DAP semakin terserlah khasnya terhadap apa sahaja perkara yang berkaitan syariah dan Islam yang sering dipertikai mereka.

Terkini gesaan pemimpin DAP, Nga Kor Ming yang meminta Putrajaya campur tangan dalam urusan kerajaan negeri Terengganu supaya membatalkan arahan berkenaan pengasingan jantina di pawagam.

Menyanggah gesaan itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Md Nor berkata, kerajaan negeri Terengganu yang ditunjangi oleh pimpinan PAS, tidak perlu akur dengan desakan dan sikap berterusan yang dilakukan oleh DAP.

Advertisement

Malah katanya, kerajaan Persekutuan dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Nancy Shukri, di bawah pimpinan Perikatan Nasional (PN) perlu memahami aspirasi dan orientasi yang dibawa oleh kerajaan Terengganu iaitu maju, berkat dan sejahtera.

Ini kerana, negeri Terengganu sebelum ini telah pun mengamalkan hiburan patuh syariah bagi tujuan untuk mengelakkan berlaku perkara yang tidak diingini selain untuk mematuhi tuntutan agama Islam.

Justeru itu, penentangan terhadap pengasingan jantina di pawagam yang dibuat oleh DAP bukanlah satu isu yang baharu ditentang oleh parti berkenaan.

Malah, tindakan dan sikap biadap DAP terus berterusan sejak sekian lama dan sikap berkenaan semakin dicurigai umat Melayu Islam.

Riduan turut menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan polisi berkenaan pengasingan jantina di pawagam kerana dilihat tepat dan perlu dikekalkan.- HARAKAHDAILY 6/7/2020