PN akan didaftar sebagai gabungan rasmi

PELABUHAN KLANG: Pendaftaran Perikatan Nasional (PN) sebagai sebuah gabungan rasmi sedang dirancang dan akan diselesaikan secepat mungkin, kata Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Advertisement

Beliau berkata ini kerana pendaftaran tersebut memerlukan kerjasama daripada semua parti gabungan PN dan ia perlu diteliti bagi menyesuaikannya mengikut perlembagaan serta prosedur parti masing-masing.

Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas perkara itu pada sidang media selepas majlis penerimaan Kapal Ronda Generasi Baru (NGPC) dan meninjau pembinaan Kapal Ronda Luar Pesisir (OPV) di sini, hari ini.

Ditanya mengenai desas-desus bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka diadakan dalam masa terdekat, Hamzah berkata beliau tidak memberi tumpuan pada perkara itu.

“Pada saya, tempoh bila diadakan PRU15 bukan fokus saya, agenda saya adalah supaya kerajaan PN mempunyai gabungan parti yang lebih teguh daripada kerajaan sebelum ini,” katanya. – BERNAMA