PRK Chini: Momentum muafakat harus dikekalkan

KEMENANGAN calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zin bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.23 Chini telah dijangka awal. Namun ramai pemerhati politik berminat melihat jumlah majoriti diperolehi BN yang mewakili Muafakat Nasional dan secara tidak langsung memberi kesan kepada penerimaan rakyat ke atas Perikatan Nasional.

Advertisement

Meskipun PH tidak menghantar wakilnya, namun usah disangkal salah seorang calon Bebas yang bertanding juga dikatakan ada kaitan dengan PH.

Jumlah majoriti 12,650 undi, iaitu tertinggi dalam sejarah DUN Chini adalah unjuran terbaik untuk dilihat apakah penilaian rakyat ketika ini kepada Kerajaan PN yang sedang memerintah dan PH yang pernah memerintah selama 22 bulan terdahulu.

Sharim Md Zain memperoleh 91 peratus daripada keseluruhan undi atau 13,872 undi daripada keseluruhan 15,231 undi.

Maka ramai pemerhati menilai bahawa ia satu keputusan atau gambaran awal bagaimana rakyat akan mencorak pilihan mereka pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) yang bakal diadakan kelak.

Memandangkan kemenangan ini adalah kemenangan kali keenam dalam Siri PRK sejak dua tahun selepas PRU14 bagi BN dan Muafakat Nasional (MN) dan kini dalam semangat PN, maka ia adalah petunjuk-petunjuk awal bagi kawasan majoriti Melayu dan kawasan yang dibanjiri pengundi FELDA serta anak muda yang mewakili segmen undi kawasan FELDA.

Jika sebelum PRU14, dikatakan anak muda FELDA telah menukar haluan tidak mengundi BN di kubu kuat BN, namun kali ini Chini boleh menjadi kayu ukur momentum undi anak muda FELDA dan warga FELDA keseluruhannya bagi mendepani PRU-15.

Rekod BN bagi pilihan raya DUN Chini Sejak 2004 – 2020:

> PRU-11 (2004): 69.9 peratus undi kepada BN
> PRU-12 (2008): 70.2 peratus undi kepada BN
> PRU-13 (2013): 72.6 peratus undi kepada BN
> PRU-14 (2018): 60.8 peratus undi kepada BN
> PRK Chini (2020): 91.1 peratus undi kepada BN.

Jika diamati perbezaan peratus undi BN pada PRU14 dengan undi PRK Chini pada 4 Julai, terdapat 30.3 peratus peningkatan undi iaitu 91.1 peratus pada PRK Chini berbanding 60.8 peratus pada PRU14.

Peningkatan 30.3 peratus disumbangkan antara lain oleh keseluruhan undi penyokong PAS kepada calon BN, juga peralihan semula undi atas pagar khasnya anak muda kepada BN yang sebelum ini terperangkap dengan janji Manifesto PH pada PRU lalu.

Peningkatan undi ini juga menunjukkan isyarat bahwa rakyat semakin cenderung kepada BN dengan formula penyatuan Umno-PAS dalam Muafakat Nasional dan keberkesanan pemerintahan PN sejak Mac lalu dengan dasar-dasar yang amat mesra rakyat.

Tidak dinafikan juga Chini adalah kawasan dalam Parlimen Pekan di mana kawasan ini amat sinonim dengan Ahli Parlimen Pekan, Dato’ Seri Najib Razak yang banyak memainkan peranan semasa kempen PRK Chini meskipun negara sedang berdepan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) angkara pandemik COVID-19.

Melihat pula kepada peratusan jumlah turun mengundi yang mengatasi sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan rakyat telah mula memiliki kesedaran dan kecenderungan untuk menanti PRU-15.

Pada awalnya SPR mensasarkan hanya 70 peratus keluar mengundi namun jumlah turun mengundi mengundi sebenar adalah seramai 74 peratus daripada keseluruhan pemilih berdaftar.

Jumlah ini adalah tinggi dalam keadaan negara masih berdepan ancaman COVID-19 dengan kebimbangan himpunan-himpunan awam sebegini boleh mengundang risiko penularan wabak.

Pun begitu, rakyat khasnya pengundi di Chini dilihat dapat menimbang baik antara keselamatan (dengan SOP ketat ditetapkan SPR) dengan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia yang memahami hak memilih wakil rakyat.

Suara ‘keramat’ rakyat terjelma kali ini sebagai isyarat bahawa rakyat sedia menunggu PRU-15 untuk memilih pemerintah yang benar-benar layak mewakili suara mereka.

Seterusnya, PRK Chini ini juga memperlihatkan kerjasama yang utuh antara parti dalam MN di mana komitmen padu jentera PAS dan BN turun padang bagi memastikan majoriti undi kepada BN meningkat amat-amat terlihat.

Formula 1 lawan 1 agar tiada pertembungan dalam MN mahupun PN telah dapat dipatuhi dalam PRK kali ini dan ia boleh menjadi model bagi pembahagian kerusi pada PRU-15 ini.

Dalam masa yang sama, PH dilihat masih berbalah sesama sendiri mengenai calon Perdana Menteri dan rekod pentadbiran selama 22 bulan yang menghampakan rakyat juga menjadi faktor lonjakan undi BN selain gambaran awal penolakan rakyat bagi PRU-15 ke atas pihak selain MN dan PN.

Justeru semangat kerjasama dan kebersamaan yang terlihat harus dikekalkan momentumnya hingga tiba saat bermuafakat menentukan kerusi pada PRU-15 ini.

Mungkin kesepakatan dalam kabinet yang mana terdiri dari semua kelompok wakil parti dalam kerajaan PN boleh digerakkan ke dalam musyawarah peringkat parti-parti dalam PN selepas ini dimana mesyuarat ketua-ketua parti PN pada minggu lalu juga boleh menjadi model asasnya.

Muafakat terbaik dalam kalangan pemimpin PN menjelang PRU-15 mampu memastikan negara ini kekal harmoni, stabil dan aman, tidak seperti semasa PH menerajui negara selama 22 bulan yang banyak menyebabkan kerosakan kepada perpaduan.

PRK Chini boleh dijadikan model terbaik membawa gambaran kepada rakyat bahawa inilah model kerajaan yang bakal dibentuk pada PRU-15 ini nanti.

WAN NORDIN WAN YAACOB – HARAKAHDAILY 6/7/2020