Siasat teliti projek terowong – ADUN Penaga

Ahli Dewan Undangan Negeri Penaga, Ustaz Yusni Md Piah

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penaga, Mohd Yusni Mat Piah berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dengan teliti berhubung kes rasuah membabitkan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Advertisement

Menurut beliau, individu yang didapati dan dibuktikan bersalah haruslah dikenakan tindakan tegas tanpa mengira latar belakang mereka, yang salah tetap salah.

“Maknanya isu ini, kita dah bangkitkan dahulu lagi, awal-awal nak buat projek terowong ini, kita dah mempersoalkan dari mana sumber kewangan semua itu.

“Jadi, mesti ada unsur-unsur rasuah apa semua, isu ini dalam sidang DUN pun saya dah bawa, kita memang nak supaya ada ketelusan dalam isu ini dan kita nampak dari sudut menguntungkan rakyat itu tidak menguntungkan projek mega ini,” harapnya.

Beliau berkata demikian hari ini ketika diminta mengulas berhubung siasatan semula SPRM berhubung kes membabitkan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Terdahulu, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Jefrey Chew Gim Eam ditahan reman oleh SPRM selama empat hari bagi membantu siasatan membabitkan kes tersebut.

Bagaimanapun, Jefrey Chew dibebaskan dengan jaminan tanpa sebarang syarat semalam dengan jaminan RM100,000.

Sementara itu, beliau turut berharap kerajaan di bawah pimpinan Perikatan Nasional (PN) agar mendedahkan semula kes-kes membabitkan penyalahgunaan kuasa.

“PH dulu, isu rumah banglo Lim Guan Eng pun akhirnya dilepaskan begitu sahaja, jadi kita nak kerajaan PN ini tegas dan telus dan SPRM siasat elok-elok.

“Kita tetap akan perjuangkan, dalam ucapan perbahasan saya pun ada sebut, dalam ucapan lisan pun saya ada bagi,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 6/7/2020