Ultra kiasu diingat tidak campur tangan

Hormati pengasingan jantina di panggung wayang Terengganu

ULTRA kiasu ini lebih baik diam daripada menyakitkan hati orang Islam Terengganu. Hormati keputusan dan kehendak rakyat Terengganu. Kita jaga kita.

Ultra kiasu menjadi panas punggung apabila mulai 1 Julai, Kerajaan Negeri Terengganu mengumumkan pelaksanaan pengasingan jantina di panggung wayang gambar (pawagam). Jabatan Pelancongan Terengganu telah melaksanakan garis panduan syariah bagi penganjur program pada 2018.

Lebih agresif lagi, ultra kiasu mahukan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan untuk campur tangan, membatalkan arahan berkenaan pengasingan jantina di pawagam oleh Kerajaan Terengganu. Sia-sia sahaja duduk dalam Parlimen, hak Pusat dan hak negeri pun tidak faham dan tidak dapat beza.

Advertisement

Nasib baik kerajaan hari ini dipimpin oleh Perikatan Nasional (PN). Jika Pakatan Harapan (PH) masih lagi memerintah, saya tidak boleh bayangkan hubungan Kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri, berhubung isu ini. Alhamdulillah, Allah telah takdirkan PH jatuh, bagi memudahkan hubungan Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri di bawah PN.

Ultra kiasu yang celupar ini ingat bandar raya Kuala Terengganu, macam bandar Teluk Intan. Ini Negeri Terengganulah. Kamu jaga kawasan kamu, tidak perlu campur tangan urusan negeri orang lain. Negeri ini ada raja dan penguasanya. Lebih baik kamu duduk diam.

Lagi pun yang nak masuk panggung wayang, bukan kamu tetapi orang Terengganu. Selagi mana orang Terengganu bersetuju dengan langkah tersebut, siapa kamu untuk campur tangan.

Lebih baik kamu jaga, anak-anak kamu daripada terjerumus ke lembah kemaksiatan. Maklum sahaja anak-anak ultra kiasu ini, sudah tidak kenal halal haram. Mereka boleh duduk tinggal serumah walaupun belum mendaftar untuk mendirikan rumah tangga.

Negeri Terengganu negeri majoriti Islam, bukan-Islam tidak sampai lima peratus, kenapa kamu harus panas punggung. Lagi pun wakil bukan-Islam dalam Kerajaan Terengganu tidak pula kedengaran membantah. Kenapa ultra kiasu ini suka campur tangan hal ehwal orang Islam? Kecuali Kerajaan Terengganu menghalang kamu masuk gereja. Barulah kamu ada hak bantah. Ini rumah orang, kain orang. Kain sendiri bertahi, tidak pula kamu nampak.

Menurut ultra kiasu ini, Kerajaan Persekutuan tidak wajar berdiam diri berkenaan perkara tersebut yang mungkin memberi kesan terhadap kemajmukan budaya di Malaysia. Apa? Budaya majmuk?

Cuba kira berapa ramai penduduk bukan-Islam di Terengganu. Cuba tanya juga penduduk bukan-Islam di Terengganu, adakah mereka bantah larangan tersebut.

Lagi satu, Cina Terengganu jauh berbeza dengan Cina ultra kiasu seperti kamu ultra kiasu. Cina Terengganu amat memahami suara hati majoriti. Penguasaan bahasa Melayu berada pada tahap tinggi, berbanding ultra kiasu ini.

Lagi pun saya tidak fikir pawagam Terengganu akan menayangkan cerita Cina, sebab bilangan orang Cina terlampau sedikit. Cina Terengganu, lebih selesa menonton cerita Melayu berbanding cerita Cina. Berbanding ultra kiasu ini. Saya amat yakin, mereka tidak langsung menonton cerita Melayu.

Pergilah ke rumah mereka dan buat survey. Saya amat yakin, tidak ada sebuah rumah ultra kiasu ini yang menonton berita, filem atau cerita Melayu. Rata-rata mereka menonton cerita dari Hong Kong dan Taiwan.

Ultra kiasu ini berkata lagi, Majlis Perbandaran Kuala Terengganu berundur ke belakang dengan melaksanakan perintah pengasingan jantina yang mungkin menggambarkan imej buruk buat negeri itu. Mana kamu tahu?

Orang Terengganu yang pergi pawagam, bukan kamu. Kalau kamu suka sangat dengan pawagam bercampur-campur, suruh sahaja anak dara kamu, menonton dengan teman lelakinya.

Memang negeri-negeri lain, tidak ada peraturan ini. Kerajaan Terengganu, mahu maju ke hadapan, berikanlah peluang. Ini belum apa-apa dah kutuk dan serang. Kadang-kala nak juga dengar suara IKRAM, sokong atau bantah.

Ultra kiasu turut menyuarakan kebimbangan masyarakat bukan-Islam yang khuatir dengan beberapa isu terkini, termasuk pembekuan lesen alkohol baru di Kuala Lumpur dan pengasingan jantina di pawagam Terengganu.

Saya tidak fikir juga pelancong yang datang ke Terengganu mahu menonton wayang dan minum kerana pawagam dan arak mereka lagi gah. Pelancong datang ke Terengganu kerana negerinya cantik, budaya menarik, orangnya baik. Bukan macam kamu ultra kiasu.

Satu lagi, sejak bila alkohol menjadi hak bukan-Islam. Arak bukan sahaja larangan Islam, tetapi juga diharamkan oleh semua agama. Jika ultra kiasu ini berpegang kepada agama Kristian, berikan dalil atau hujah agama Kristian yang menghalalkan atau menggalakkan arak. Juga berikan dalil kepada saya, mengenai agama Kristian membenarkan pergaulan bebas lelaki dan perempuan.

Jika ada agama yang menghalalkan pergaulan bebas dan menghalalkan, saya berani mengatakan agama tersebut amat hina. Agama ini tidak layak untuk digelar atau dikategorikan sebagai agama. Istilah yang sesuai adalah ajaran sesat.

Larangan Kerajaan Terengganu lebih kepada mencegah, kerana ada pasangan yang belum berkahwin bukan nak tengok wayang tetapi lebih kepada main wayang dalam pawagam.

Ultra kiasu ini juga berkata arahan itu juga perlu mempertimbangkan kegiatan menonton wayang juga adalah riadah keluarga. Betulkah? Ultra kiasu mengatakan statistik Kementerian Dalam Negeri menunjukkan bahawa pawagam adalah tempat hiburan buat keluarga, bukan tempat jenayah. Apa maksud keluarga kepada kamu?

Saya tidak fikir, Kerajaan Negeri Terengganu akan mengasingkan pasangan berkahwin, bapa dan anak, ibu dan anak. Sudahkah kamu bertanya kepada Kerajaan Negeri Terengganu?

Ultra kiasu ini berhujah lagi, tiada pawagam di negeri lain yang melaksanakan peraturan bagi mengasingkan lelaki dan wanita. Biarkanlah Negeri Terengganu mahu melakukannya, ini bukan Pulau Pinang.

Awal tahun ini, Wanita MCA turut menggesa pihak berkuasa supaya meneliti arahan yang melampau dan diskriminasi. Saya amat yakin, tidak lama lagi, rakan PN, MCA akan bersuara. Jika MCA bersuara lagi, tendang sahaja dia dari PN. Duduk dalam PN, menumpang untuk menang di kawasan majoriti Melayu yang ditandingi.

Jangan layan MCA ini, kecuali dia boleh buktikan dia boleh menang kawasan majoriti Cina. Selagi dia tidak menang, selagi itulah dia tidak layak mewakili orang Cina, meskipun namanya, parti Cina.

Saranan saya kepada ultra kiasu ini dan MCA, jangan campur tangan dalam hal ehwal orang Islam dan negeri majoriti besar orang Islam seperti Terengganu dan Kelantan. Kesemua negeri ini ada sejarah asal usulnya, seperti mana kamu daripada asal usulnya. Sedar dirilah.

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH – HARAKAHDAILY 6/7/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.