Masalah hakisan Pantai Rusila diatasi

MARANG: Kementerian Alam Sekitar dan Air semalam mengumumkan peruntukan RM165 juta, bagi menyelesaikan masalah hakisan di sepanjang enam kilometer jajaran Pantai Rusila, di sini.

Advertisement

Menterinya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, peruntukan tersebut melibatkan RM15 juta bagi strategi jangka pendek, manakala RM150 juta lagi bagi melaksanakan strategi jangka panjang.

“Strategi jangka pendek melibatkan projek penyuburan pantai iaitu menambak balik kawasan persisiran pantai dengan pasir, yang dijangka siap dalam tempoh dua atau tiga tahun,” katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan hakisan di Pantai Rusila di sini semalam.

Katanya strategi jangka panjang pula melibatkan projek pembinaan struktur pemecah ombak jenis ‘nearshore breakwater’ atau ‘groin’, yang akan disiapkan dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12.

“Strategi jangka panjang ini akan dilaksanakan berdasarkan kajian Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (ISMP) yang kini sedang dijalankan,” katanya.
 
Beliau menambah kajian ISMP itu, merupakan satu kajian holistik mengenai keadaan seluruh pantai di Terengganu iaitu sepanjang 244 kilometer.

Sementara itu Tuan Ibrahim berkata, Kerajaan Persekutuan melalui Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) telah memperuntukkan RM1.76 bilion, kepada Kerajaan Negeri Terengganu untuk sektor alam semula jadi dan air.

“Daripada jumlah tersebut, RM162.6 juta diperuntukkan untuk sektor alam sekitar, manakala RM1.599 bilion untuk sektor air di bawah Pelan Perancangan (RP4) RMK-11 di Terengganu, yang mana sebahagian besarnya melibatkan projek di kawasan pantai,” katanya. – BERNAMA