MTUC minta lanjutan moratorium untuk pekerja

KUALA LUMPUR: Nasib golongan pekerja kumpulan B40 dan M40 termasuk hampir 800,000 yang hilang kerja setakat April lalu, serta ribuan bakal senasib, mesti dibantu dengan melanjutkan moratorium pinjaman bersasar.

Advertisement

Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon meminta Kementerian Kewangan dan Bank Negara dapat memastikan bank-bank di negara ini dapat membantu golongan pekerja yang berkenaan.

Cadangnya, moratorium bagi golongan berkenaan perlu dilanjutkan untuk tempoh 6 bulan lagi, sebagai reaksi kepada kenyataan Bank Negara bahawa kesukaran untuk institusi perbankan berbuat demikian selepas 1 September nanti.

Pintanya, selain golongan pekerja, pelanjutan sama juga wajar diberi kepada syarikat bersama kemudahan pinjaman sebagai daya tahan setelah berdepan cabaran dalam menghadapi kesan dari pandemik COVID-19 hampir 3 bulan.

Menurutnya, golongan pekerja berkenaan masih belum bersedia untuk membayar semula pinjaman kenderaan dan perumahan mereka yang disumbang oleh faktor pembukaan ekonomi masih perlahan.

Hal tersebut direlevankannya dengan keterangan bahawa institusi perbankan masih teguh sebagaimana dinyatakan pihak Bank Negara sendiri, selain mencatat keuntungan berbilion ringgit pada tahun 2019.

Katanya, pelanjutan untuk 6 bulan lagi tidak akan menjejaskan kedudukan asas bank, tetapi boleh memusnahkan kewibawaan kerajaan yang telah diraih daripada rakyat. – HARAKAHDAILY 7/7/2020