Pengilhakan Tebing Barat pelan terkutuk Zionis

WABAK pandemik COVID-19 kini masih lagi menjejaskan keadaan di majoriti negara termasuklah negara yang sedang dilanda peperangan seperti di Palestin, Syria, Yaman dan lain-lain lagi walaupun beberapa negara sudah menunjukkan tanda-tanda kemenangan menentang virus ini.

Nafsu serakah Zionis Laknatullah yang dipimpin oleh Benjamin Netanhayu terus menerus menjajah bumi Palestin tanpa perikemanusiaan meskipun sedang dihimpit teruk dengan wabak pandemik COVID-19 ini apabila sudah mencatatkan lebih 28,000 kes di wilayah haram mereka.

Terkini, pelan pengilhakan di Tebing Barat iaitu ‘West Bank Annexation’ yang sepatutnya dimulakan pada 1 Julai lepas terpaksa ditangguhkan sementara menunggu kelulusan daripada satu-satunya negara di atas muka bumi ini yang menyokong tindakan terkutuk itu iaitu Amerika Syarikat.

Pengilhakan ini bermaksud Kerajaan Israel akan merampas secara paksa tanah asal penduduk Palestin yang dijajahnya sejak tahun 1967. Tindakan kejam ini akan mengakibatkan anggaran 2.5 juta rakyat Palestin ditendang keluar dari tanah mereka sendiri.

Advertisement

Secara jelas pengilhakan ini mencabul Undang-undang Antarabangsa khususnya Konvensyen Geneva Keempat 1949 serta Resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) iaitu Resolusi 2334 (2016) Majlis Keselamatan PBB seperti yang ditekankan sendiri oleh Pengarah Kanan United Nations, Michelle Bachelet bahawa pengilhakan ini merupakan kesalahan serius undang-undang setelah dekad lamanya.

Kebanyakan negara juga menunjukkan sokongan terhadap penentangan pelan zalim ini seperti yang dinyatakan oleh Liga Arab susulan mesyuarat mereka bahawa pelan ini merupakan jenayah perang yang serius. Kesatuan Eropah juga memberitahu bahawa pelan ini akan menjejaskan hubungan EU-Israel.

Perdana Menteri Britian, Boris Johnson dengan kerasnya menegaskan UK tidak akan mengiktiraf sebarang perubahan daripada peristiwa 1967. Rusia dan China juga membantah pelan terkutuk ini melalui jurucakap masing-masing.

Jelas di sini bahawa jenayah yang dilakukan Zionis Laknatullah dengan kerjasama sahabat karib mereka iaitu Amerika Syarikat tidak lain tidak bukan hanya untuk kepentingan sendiri tanpa mengambil kisah rakyat asal iaitu penduduk Palestin.

Bersama kita menunjukan solidariti terhadap penentangan pelan ini dengan meletakkan tanda pagar #StopAnnexation untuk menyedarkan seluruh warga Malaysia akan tindakan tidak berperikemanusiaan ini.

“Demi Islam, Mahasiswa Bangkit”

AHMAD BADRI AHMAD BORHAN,
Naib Presiden 2
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) 2020 – HARAKAHDAILY 7/7/2020