PLM sokong usaha pinda Akta DBP

KUALA LUMPUR: Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) menyokong penuh usaha meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memberi kuasa penuh kepada DBP bagi melaksanakan penguatkuasaan berkaitan penyalahgunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi.

Advertisement

Timbalan Presiden PLM, Kamalshukri Abdullah Sani berkata, sudah tiba masanya bagi pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengenakan tindakan serius terhadap individu-individu yang tidak menggunakan Bahasa Kebangsaan dengan betul dalam urusan rasmi sama ada berbentuk komunikasi bertulis, dokumen atau secara lisan.

Ujarnya, walaupun pelaku kesalahan bukan dalam kalangan orang awam mahupun rakyat marhaen ia tetap melibatkan kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Tegasnya, hanya penguatkuasaan melalui pindaan akta sahaja mampu menggerunkan sesiapa sahaja yang berhajat untuk merosakkan bahasa kebangsaan negara.

“PLM suka mencadangkan jika berlaku kebiadapan yang sama terhadap bahasa kebangsaan sama ada oleh mana-mana wakil rakyat, timbalan menteri hatta menteri sekalipun amat wajar raja atau sultan menarik balik serta-merta semua pingat kebesaran yang telah diberi.

“Malah jika berulang lagi, gugurkan sahaja taraf kewarganegaraannya kerana jelas tidak hormat dan mencabar kedaulatan bahasa rasmi yang turut dinaungi oleh baginda sultan dan Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya kepada HarakahDaily baru-baru ini.

Katanya, mereka yang melakukan kesalahan ini terlalu mengambil enteng akan hal ini dengan sekadar ucapan ‘maaf’.

Kemudian mengambil jalan mudah dengan memadam ‘kesalahan’ yang telah dilakukan daripada dipaparkan di media, malah kesalahan yang hampir sama berulang dilakukan oleh pihak lain dan hanya permohonan maaf dibuat.

Menurut beliau, terdapat banyak isu penggunaan bahasa di sektor swasta, awam malah sektor kerajaan sendiri terutamanya pihak berkuasa tempatan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Janji Menteri Perumahan untuk mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan akur akan akta dan peraturan bahasa tidak mencukupi kerana menteri silih berganti antara yang peka dan tidak dan telah lebih 60 tahun keadaan tidak berubah.

“Banyak penamaan tempat, papan tanda, perumahan, gedung niaga yang mengubah lanskap dan citra Malaysia menjadi seolah-olah New York, London, Taiwan, Bombay dan seumpamanya.

“Jadi, biarlah undang-undang pula yang mengurus hal ini selepas 60 tahun. Dalam hal lain kerap juga pendakwaan di mahkamah terpaksa menggunakan penterjemah sedangkan yang terdakwa rakyat negara ini yang berpuluh tahun tinggal di sini,” terangnya.

Malah, beliau berkata isu ini semakin menjadi-jadi beberapa tahun kebelakangan ini dek rasa tidak hormat akan Bahasa Kebangsaan sama ada dalam keadaan bersifat rasmi atau majlis rasmi.

Beliau berkata, sudah tiba masanya bagi ‘mereka’ untuk menghormati undang-undang bahasa kebangsaan kita sepertimana menghormati undang-undang yang lain, keselamatan jalan raya, had laju dan sebagainya sepertimana yang telah dilakukan oleh negara luar.

“Di Perancis misalnya ada dibawa ke parlimennya undang-undang yang yang melarang penggunaan kata bahasa asing khasnya (bahasa) Inggeris sekiranya ada padanannya dalam bahasa Perancis.

“Sesungguhnya malang dan amat menyedihkan sekali jika mesyuarat menteri kabinet dan kementerian di Malaysia masih menggunakan Bahasa Inggeris atau bercampur-aduk bahasanya, umpama belut yang sekerat ular,” ulasnya. – HARAKAHDAILY 7/7/2020