TDM terus catat kejayaan kekang PATI

KUALA LUMPUR: Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui formasi Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) membuat tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd) di Kota Tinggi, Johor semalam.

Advertisement

Menerusi Op Benteng itu, pasukan dari Rejimen Ke-61 Artileri Diraja (61 RAD) diketuai Mejar Paimon Mat Don bertindak di bawah dua seksyen masing-masing jam 4 pagi di Kuari Sungai Musuh, Teluk Ramunia dan 9 pagi di Ladang Kurnia, Bandar Penawar.

Di Teluk Ramunia lima PATI warganegara Indonesia dipercayai cuba untuk keluar dari negara ini ditahan melibatkan lelaki dewasa berusia sekitar 20 hingga 40 tahun, manakala di Bandar Penawar, dua pati dipercayai tekong juga warga Indonesia dapat ditahan.

Dalam dua kejadian tersebut juga, dua kereta jenis Toyota Vios dan Wira Aeroback dirampas, selain itu lapan telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM2,799 dan RP1.3 juta menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan hampir RM26,000.

Semua PATI diserahkan ke Balai Polis Bayu Damai bagi tindakan selanjutnya sebelum diarahkan untuk menjalani pemeriksaan COVID-19 di Pejabat Kesihatan Kota Tinggi dan pasukan telah meneruskan usaha membuat pencarian dan mengesan saki baki PATI.

Untuk rekod, sepanjang tahun ini sahaja, pasukan melalui Op Merpati telah berjaya menahan 265 PATI yang cuba menyeludup masuk atau keluar dari Malaysia, manakala semenjak pasukan 61 RAD terlibat dalam Op Benteng seramai 104 PATI telah berjaya ditangkap.

TDM dalam kenyataannya menegaskan, melalui formasi dan unit yang beroperasi di seluruh negara akan terus komited melaksanakan tugas menjaga kedaulatan perbatasan negara daripada sebarang ancaman termasuk aktiviti melepasi sempadan negara. – HARAKAHDAILY 7/7/2020

Sumber asal: https://www.facebook.com/TenteraDaratMY/ (Sel Perhubungan Raya Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia)