Banci 2020: Penduduk digalak guna e-Census

PUTRAJAYA: Lebih 30 peratus penduduk Malaysia dijangka mengisi borang soal selidik secara dalam talian bagi Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020), kata Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Advertisement

“Pada Banci 2020 kali ini, kita melaksanakan sistem bancian secara dalam talian melalui e-Census dan kejayaan bancian bergantung pada seluruh penduduk Malaysia yang akan menjawab soal selidik itu nanti,” katanya pada Bernama semalam.

Mohd Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci 2020 ditemui selepas menjadi moderator sesi webinar “Counting Everyone for a Better Tomorrow” yang diadakan di sini sempena pelancaran Hari Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Banci 2020 melibatkan kira-kira 32.7 juta penduduk dan sembilan juta tempat kediaman yang dijalankan dalam dua fasa.

Fasa pertama bermula 7 Julai hingga 30 September secara dalam talian (e-Census), manakala fasa kedua akan bermula 7 hingga 24 Oktober (7-24 Okt) menggunakan kaedah temu ramah secara bersemuka.

Mohd Uzir berkata kerja awal persediaan bagi pelaksanaan Banci 2020 telah dimulakan sejak 2016 dan ia tidak akan terjejas walaupun negara berhadapan dengan situasi pandemik COVID-19.

Beliau berkata Jabatan Perangkaan turut berbesar hari apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menjadi responden pertama Banci 2020. – BERNAMA