MJMM desak Al-Jazeera mohon maaf kepada Malaysia

KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup menggesa TV Al-Jazeera dan warga asing, Rayhan Kabir yang ditemubual dalam dokumentari Al-Jazeera membuat permohonan maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

Advertisement

Gesaan tersebut disuarakan susulan video dokumentari Al-Jazeera tular memburukkan imej Malaysia berhubung layanan terhadap Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan pelarian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini adalah sangat tidak wajar tidak bertanggungjawab kerana Tv antarabangsa Al-Jazeera ini memfitnah negara Malaysia dan memanggil beberapa warga asing untuk di temubual. Warga asing ini juga turut memburukkan nama Malaysia (tuduhan) layanan terhadap mereka.

“Macam mana diburuk-burukkan dan di gambarkan seluruh dunia mengatakan Malaysia ini melayan teruk kepada warga asing. Ini amat tidak betul,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas selesai membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di sini hari ini, berhubung isu fitnah yang dimuatnaik oleh media antarabangsa Al-Jazeera.

Tambah beliau, Malaysia terkenal dan diakui dunia dalam menangani isu Covid-19, ia terjamin bahawa Malaysia merupakan negara selamat untuk semua termasuk pelarian.

Dalam pada itu, Abdul Rani menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pihak berkuasa mengambil tindakan keras sejajar dengan arahan Perdana Menteri menangkap warga asing dan menghantar pulang ke negara mereka.

“Penjara 50 tahun denda RM1 juta kepada kedua pemangsa yang memburukkan negara kita ini. Bagi pengajaran kepada mereka yang kurang ajar. Duduk negara orang nak berlagak.

“Tv Al-Jazeera jangan biadab duduk negara kita ini, kau buat hal. Memang kau cari penyakit termasuk Rayhan Kabir. Cari dia hantar kepada polis,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/7/2020