PATI sepatutnya berterima kasih kepada Malaysia

KUALA LUMPUR: Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tidak mempunyai dokumen rasmi dan masuk ke negara ini secara haram sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan Malaysia, kata Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Dr Najihatussalehah Ahmad.

Advertisement

Menurut beliau, ini kerana kerajaan Malaysia telah banyak membantu PATI ketika berdepan dengan krisis wabak pandemik Covid-19 dengan memberi rawatan secara percuma kepada mereka yang dikesan positif.

Namun, tindakan segelintir daripada mereka yang tidak bertanggungjawab ini ternyata sebaliknya apabila mereka menuduh bahawa mereka diberi layanan secara tidak adil dan rasis.

“Seharusnya PATI ini memberikan ucapan terima kasih kepada kerajaan negara kita, dan saya juga mengharapkan negara asal PATI ini dapat mengeluarkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Malaysia.

“Mereka yang positif Covid-19, kerajaan telah menempatkan mereka di tempat yang sesuai, iaitu hospital yang telah dibuat khas untuk mereka di Serdang, mereka juga telah diberi rawatan secara percuma oleh kerajaan Malaysia.

“Saya rasa inilah satu-satunya kerajaan yang sangat prihatin serta memberikan rawatan yang baik kepada kelompok mereka,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung laporan dokumentari agensi berita antarabangsa, 101 East di bawah Al Jazeera yang menuduh kerajaan Malaysia melayan PATI secara tidak adil ketika berdepan dengan Covid-19.

Mengulas lanjut, menurut Dr Najiha, Al Jazeera sebagai sebuah agensi berita antarabangsa sepatutnya telus dalam melaporkan dan mengamalkan etika dan prinsip kewartawanan dengan baik.

Namun, dengan insiden ini, agensi berita itu sedikit sebanyak telah mencemar imejnya sebagai sebuah portal berita ternama.

“Kalau kita nak jadi media yang dihormati, kita perlulah menyiarkan berita yang tepat dan adil, berita itu mestilah berdasarkan fakta yang sebenar serta faham apa yang berada di Malaysia ini, juga bagaimana tindakan kerajaan terhadap PATI ini,” nasihat beliau.

Dilaporkan, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima beberapa laporan membabitkan salah lapor agensi berita itu, dan kini pihak polis sudahpun mula membuka kertas siasatan bagi menyiasat isu berkaitan.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ yang mengecam layanan terhadap PATI ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani Covid-19. –HARAKAHDAILY 8/7/2020