Penjaga Jabal Ruumah PAS Terengganu

HEBOH di media sosial berkenaan satu cerita, seorang Exco telah membawa seramai 109 orang dalam satu lawatan kerja bagi memeriksa tahap kepatuhan resort, hotel atau chalet terhadap SOP yang telah digariskan oleh Kerajaan Negeri, bagi memerangi sisa-sisa COVID-19. Fitnah itu cuba mengaitkan mengapa sehingga lebih 100 orang datang bersama Exco dan menggunakan wang rakyat.

Kesilapan ialah keterangan berkenaan dua kerja yang dilakukan Exco pada masa dan tempat yang sama, tidak maklumkan. Kerja-kerja menyemak SOP itu berkait dengan tugasan kerajaan dan satu meraikan Program Hari Keluarga bagi Kelab Kebajikan Kakitangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (KEBAP) dengan beliau sebagai penasihat Kebap. Ditambah lagi hantaran oleh pemilik resort tersebut yang menyebutnya secara bersekali.

Maka bertebaranlah fitnah kepada Exco itu dan juga kakitangan Kebap itu. PH pastinya kita tahu, tidak akan ke lain kecuali ke arah benda-benda busuk. Dan segelintir ahli Umno yang berotakkan PH, yang masih tamak, tidak sedar diri setelah dikalahkan dahulu, tegar mahu mengalahkan PAS di Terengganu, tanpa menghiraukan arahan muafakat oleh ketua mereka. Jadi gandingan kedua pihak ini memeriahkan fitnah.

Advertisement

Tetapi agak dikesali, malang, sedih dan seperti tidak boleh diterima ialah, walaupun ahli PAS mengetahui bahawa PH dan Umno berotakkan PH itu kaki menipu, mereka tetap mempercayai cerita-cerita sebegini. Saya rasa tidak perlu saya untuk memberikan penerangan lebih lanjut berkenaan isu ini, kerana sudah jelas ianya satu cubaan memalukan PAS. Tetapi kepada ahli PAS, suka saya berkongsi pengalaman saya sepanjang mengenali pasukan yang berkerja di belakang tabir BPPNT ini.

Mereka terdiri daripada satu kumpulan yang berbagai latar belakang. Ada yang mempunyai M.A, ijazah, apatah lagi. Mereka ialah kumpulan manusia yang sanggup meninggalkan peluang mencari kekayaan di luar sana. Dengan kelayakan yang mereka ada, mereka hanya memilih untuk mendapat gaji yang ada ketikanya kurang dari empat angka. Lebih rendah dari gaji ‘jaga’.

Selama mana mereka bertahan? Ada yang sudah mencapai 30 tahun, duduk bersama PAS, belasan tahun pun ada. Gaji mereka adalah hasil sumbangan YB-YB PAS. Mereka merasa perit itu. Ada di antara mereka melakukan kerja tambahan bagi menampung pendapatan keluarga. Tetapi meninggalkan jawatan mereka, amat payah sekali. Jika mereka duduk di pejabat parti politik yang besar lain, kemungkinan mereka akan mendapat ganjaran seperti tanah atau apa-apa yang difikirkan sesuai.

Namun PAS, tetap PAS. Datang tak dijemput, pergi tak dihalau. Saya pernah menyaksikan seorang ustaz PAS yang kemudiannya bertukar kepada PAN. Beliau sering mengeluh duit sedikit mengajar di sekolah PAS. Mengkritik pimpinan. Akhirnya dia keluar PAS. Yang lucunya, dia akhirnya terpaksa menerima bantuan dari Kerajaan PAS bagi membuat projek pertaniannya. Manakala ustaz-ustaz PAS yang lain, tiada masalah langsung dengan kewangan, tidak meminta-minta.

Ada juga yang cuba untuk menjadi salah seorang daripada pasukan ini. Dia berjanji yang dia akan mematuhi disiplin parti, dengan gaji yang sedikit. Akhirnya dia keluar, tak tahan. Dia bina surau dan madrasah, tetapi suraunya seperti tidak mendapat sambutan. Nama yang dahulunya dikatakan boleh berkembang dengan lebih besar, akhirnya layu di hujung bibir orang.

Keikhlasan ini bukan sesuatu yang boleh dibuat-buat. Sebagai manusia, perasaan melihat orang lain bergaya dengan harta dunia, tidak mudah untuk diketepikan. Ketika melihat orang berkereta baru, mereka hanya berkereta buruk, ketika orang sentiasa makan di luar, mereka mesti mengawal bajet kewangan mereka. Ketika orang sibuk berbelanja, mereka mengikat perut untuk belanja yang lebih utama.

Tetapi, anak-anak mereka, tidak sedikit yang masuk universiti dalam dan luar negara. Dari mana mereka mendapatkan wang? Itulah janji Allah. Tanpa mereka sangka, rezeki datang. Ada yang ketika duduk sahaja, dihubungi seseorang untuk diberikan wang. Tidak kaya, tetapi tidak takut dengan kemiskinan. Tidak meminta, kelihatan seperti cukup, tetapi Allah sahaja yang tahu keadaan mereka. Dan anak-anak mereka bukan sedikit. Ada yang 5, 6, 7 sehingga 10 orang pun ada.

Lucu juga kerana mereka masih boleh mengumpulkan wang bagi program-program seperti ini. Janji Allah kepada manusia yang bertawakal kepada Allah, mereka telah rasakan. Sehingga kini, tiadalah mereka mati kelaparan. Sentiasa ada rezekinya. Kita yang memerhati dari luar, mungkin gagal untuk memahami perasaan mereka. Ya mungkin kerana hidup kita dipandu dengan kejayaan materi, jadi pencapaian materi juga yang dijadikan kayu pengukur. Tidak bagi mereka. Bersyukur dengan apa yang ada.

Ketika ramai yang bergerak menuju ke Wisma Darul Iman, sama ada disuruh pimpinan ataupun yang mencari peluang, mereka diarahkan untuk menjaga Jabal Ruumah. Hanya beberapa orang daripada mereka yang diperlukan di WDI. Jabal Ruumah ialah bukit pasukan pemanah dalam Perang Uhud yang terkenal itu. Berdiam di situ bermakna tidak menjadi golongan pertama yang menikmati hasil. Berisiko untuk terbunuh. Tetapi tetap mereka mendengar arahan. Kepakaran mereka lebih diperlukan di BPPNT.

Janganlah dicemburui 16 orang yang bertahan di sini. Mereka tidak selayaknya dihina sebegitu oleh ahli PAS sendiri. Saya tidak menulis dari konteks PH dan Umno berotakkan PH, biarkanlah mereka. Tetapi ahli PAS yang mempercayai fitnah terhadap mereka, fikirkanlah mengenai diri sendiri. Sedih melihat mereka bertungkus lumus berkerja dan mahu menikmati sedikit kerehatan, akhirnya difitnah sebegitu.

Mereka tidak rugi apa-apa. Dan kamu juga tidak untung apa-apa, malah berdosa pula. Tetapi atas dasar sedar diri, insaflah, berilah mereka semangat. Kalau boleh, jika ada orang-orang kaya di luar sana bantu memenuhkan tabung kelab mereka. Bukan sahaja program hari keluarga, malah aktiviti-aktiviti membantu masyarakat seperti korban dan sebagainya, turut mereka lakukan. Duit macam tak ada, tapi masih boleh bersedekah. Pelikkan?

Dengan wang tabung itu juga mereka membantu sesama mereka, membuat pinjaman tanpa faedah, hadiah kepada ahli dan lain-lain bantuan yang sesuai. Oleh itu, suka saya menyeru kepada semua ahli PAS, jika berita itu datang dari sumber yang diragui, tinggalkanlah. Teramat perlu lagi dijauhi jika ia melibatkan cerita memburukkan PAS. Doakan mereka, benteng pertahanan BPPNT ini agar mereka terus istiqamah dalam mengharungi perjuangan yang semakin mencabar ini.

Ketika ramai yang berswafoto dengan ikon pimpinan PAS Terengganu selepas menang, bergambar menunjuk tempat bercuti, makan, menghebahkan jasa budi mereka membantu pimpinan PAS Terengganu, memberitahu yang mereka rapat dengan YB-YB PAS, yang terkadang melebihi apa yang sepatutnya, yang gelisah kerana tiada jawatan ditawarkan, mereka 16 orang ini, masih di bawah tempurung pejabat BPPNT, tidak dikenali. Tetapi antara jasa mereka dalam membantu menguruskan pejabat BPPNT secara tidak langsung telah meletakkan ramai orang PAS mendapat kerja bersama kerajaan.

Jom bantu mereka, limpahkan tabung kelab mereka. Mereka tidak meminta, tetapi jika mahu berkongsi rezeki, mereka bersyukur. MAYBANK 563064137102 Kelab Kebajikan BPPNT

MOHD NASIR ABDULLAH
8 Julai 2020 – HARAKAHDAILY 8/7/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.